Rabu, 21 March 2018 | 5:59pm
KUMPULAN Brothers. - Foto NSTP
KUMPULAN Brothers. - Foto NSTP
KUMPULAN Inteam. - Foto: NSTP
KUMPULAN Inteam. - Foto: NSTP
HELIZA (kanan) dan adiknya, Hazwani Helmi. - Foto: NSTP
HELIZA (kanan) dan adiknya, Hazwani Helmi. - Foto: NSTP
AWI Rafael. - Foto: NSTP
AWI Rafael. - Foto: NSTP
IPPO Hafiz. - Foto: NSTP
IPPO Hafiz. - Foto: NSTP

11 peserta bersaing dalam GGV2

KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid kontemporari era 1990-an, Brothers dan Inteam, antara 11 peserta program realiti, Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2).

Bakal memulakan pertandingan pada 31 Mac ini, kumpulan berpengalaman cukup dikenali menerusi lagu Teman Sejati dan Kasih Kekasih itu akan bersaing dengan artis generasi baharu seperti Devotees, Mestica dan Rabithah.

Tidak ketinggalan memberikan cabaran ialah peserta duo, Heliza dan Hazwani Helmi, serta artis solo, Adeep Nahar, Awi Rafael, Farah Asyikin, Fitri Haris dan Ippo Hafiz.

Masih mengekalkan pengacara musim lalu, Siti Nordiana, Fikry Ibrahim dan Fakhrul UNIC, program yang dipancarkan secara langsung itu menawarkan hadiah wang tunai RM100,000 kepada juara.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata GGV2 juga menampilkan 11 peserta berbanding 10 pada musim lalu berikutan kehadiran ramai penyanyi berbakat ke sesi uji bakat yang diadakan secara tertutup.

"Matlamat utama program ini adalah untuk menyampaikan mesej ilmiah dan menanam nilai murni dalam hati penonton serta masyarakat Malaysia menerusi persembahan lagu bercorak positif.

"Kita juga berharap rancangan ini mampu mengangkat kembali genre muzik Islamik," katanya pada sidang media mengumumkan perkara itu, di sini hari ini.

Selain itu, GGV2 turut mengekalkan dua juri tetapnya iaitu komposer dan penerbit, Farihin Abdul Fattah, serta bintang Indonesia, Oki Setiana Dewi.

Berita Harian X