SHAH ALAM: Penyanyi dan komposer, Hael Husaini, mengaku terpaksa menolak permintaan sesetengah artis yang mahu merakamkan lagu ciptaannya disebabkan terlalu sibuk.
Biarpun terkilan apabila menghampakan harapan penyanyi lain, Hael, 30, berkata beliau perlu berbuat begitu kerana enggan menghasilkan lagu secara tergesa-gesa hanya kerana mahu menjaga hati pihak terbabit.
"Sejak memenangi trofi Anugerah Juara Lagu (AJL), baru-baru ini, saya akui makin ramai yang datang meminta lagu daripada saya. Bagaimanapun tidak semua permintaan dapat dipenuhi kerana saya sangat sibuk.
"Saya baru saja selesai menyiapkan lagu untuk Ayda Jebat dan Stacy. Mereka juga sebenarnya sudah meminta lagu daripada saya sejak tahun lalu," ujar Hael.
Menurut pemuda ini, beliau berbuat demikian bukan kerana mahu 'demand' atau hendak mengenakan bayaran tinggi, tetapi bagi mengelakkan mereka ternanti-nanti.
"Saya akan tolak permintaan pihak yang mahu lagu itu siap secepat mungkin. Selain sibuk, saya juga tidak mahu menghasilkan lagu secara tangkap muat sebab hasilnya nanti tidak seperti diharapkan," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis penghargaan Jampi, di sini.
Majlis bertemakan rona hitam itu turut dihadiri rakan artis seperti Nabila Razali, Ara Johari, Wany Hasrita, Amylea Azizan, Erema dan peminat Hael yang dikenali sebagai Haelers.
Sebelum menyerahkan sesebuah lagu, pemilik nama lengkap Hal Husaini Razmi ini berkata, beliau terlebih dulu mengkaji karakter suara si penyanyi supaya hasilnya bersesuaian dengan vokal artis terbabit.
"Saya memang tak pernah memberikan lagu sedia ada dalam simpanan atau arkib. Biasanya, lagu berkenaan memang dicipta mengikut karakter vokal si penyanyi itu. Kalau saya berikan lagu dalam simpanan, bunyinya nanti seperti saya yang menyanyikannya," ujar bapa kepada seorang anak perempuan ini.
Ditanya mengenai projek terkini, Hael berkata, jika tiada aral melintang, beliau bakal bekerjasama dengan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, selain muncul dengan single seterusnya berjudul Haram.
Pada AJL 32, lagu Jampi hasil ciptaannya bersama Ezra Kong dinobatkan sebagai juara. Tempat kedua pula dimenangi oleh Faizal Tahir dan Mike Chan yang mempertaruhkan lagu Sejati, manakala Tergantung Sepi, nukilan Ibnu dan Gouffran berpuas hati di tempat ketiga.