Sabtu, 24 Februari 2018 | 9:05am
Lan Solo di sisi isteri, Nur Sheila Hassim dan cahaya mata keempat mereka. - Foto ihsan Intagram Lan Solo
Lan Solo di sisi isteri, Nur Sheila Hassim dan cahaya mata keempat mereka. - Foto ihsan Intagram Lan Solo

Lan Solo sambut anak perempuan

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Lan Solo, menghela nafas lega apabila dapat berada di sisi isterinya saat Nur Sheila Hassim, 33, melahirkan cahaya mata keempat mereka.

Lan atau nama penuhnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berkata beliau yang baru saja pulang dari Jakarta, Indonesia, pada Khamis lalu, menyambut anak perempuan seberat 2.5 kilogram pada 4.10 pagi tadi.

"Alhamdulillah, nasib baik 'baby' sempat tunggu saya balik dari Jakarta. Sepanjang di sana, saya memang tak senang duduk ketika bekerja.

"Saya juga dapat memotong sendiri tali pusat anak keempat kami.

"Isteri dimasukkan ke bilik bersalin sekitar jam 1 pagi tadi dan selamat melahirkan anak kami selepas tiga jam. Selepas empat tahun, akhirnya kami berdua selamat menyambut cahaya mata keempat, yang melengkapkan lagi keluarga kami.

"Saya akan berlepas ke Sabah pula tengah hari ini, namun sehari saja di sana. Selesai saja urusan, saya akan membawa pulang isteri dan anak pulang ke rumah, jadi dapatlah Sheila berehat seketika di hospital sementara saya bekerja," katanya kepada BH Online.

Sheila melahirkan puteri mereka dua minggu lebih awal daripada jangkaan doktor.

Akhir tahun lalu, Sheila pernah dimasukkan ke hospital selepas pertandingan akhir Gegar Vaganza 4 (GV4), dan doktor mengesahkan dia mengalami kebocoran air ketuban kerana terlalu aktif bekerja.

Lan dan Sheila mendirikan rumah tangga pada 5 Disember 2009. Pasangan ini sudah dikurniakan tiga anak iaitu Nur Amna Qaleesya, 8, Nur Amna Qeesyara, 6, dan Muhammad Akid Qassyaff, 4.

Berita Harian X