Sabtu, 17 Februari 2018 | 8:48am
DJ Dave (kiri) menaiki helikopter bersama anak kurang upaya.
DJ Dave (kiri) menaiki helikopter bersama anak kurang upaya.

Dave rancang konsert amal artis 70-an

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 1970-an, Datuk DJ Dave, merancang untuk mengadakan sebuah konsert amal khas bagi membantu penyanyi seangkatan dengannya.

Menurut Dave, persembahan yang bakal diadakan pada penghujung 2018 itu boleh diibaratkan sebagai serampang dua mata.

Katanya, selain beramal, ia juga bertujuan untuk mengembalikan ingatan peminat terhadap zaman kegemilangan muzik era berkenaan.

"Saya merancang untuk mengadakan konsert pada penghujung tahun ini dengan menghimpunkan kembali semua artis era 70-an di atas satu pentas. Kalau kita lihat, banyak pihak yang pernah mengadakan konsert untuk artis 60-an, tetapi tidak artis 70-an.

"Konsert ini juga diadakan dengan niat murni, iaitu membantu golongan artis seangkatan dengan saya. Ramai antara mereka kurang bernasib baik, berdepan masalah kesihatan dan sebagainya.

DJ Dave (kanan) beramah-mesra bersama anak-anak kurang upaya daripada pelbagai rumah kebajikan ketika sambutan ulang tahun hari kelahirannya yang ke-70 di Tasik Titiwangsa. - Foto: Hafiz Sohaimi
DJ Dave (kanan) beramah-mesra bersama anak-anak kurang upaya daripada pelbagai rumah kebajikan ketika sambutan ulang tahun hari kelahirannya yang ke-70 di Tasik Titiwangsa. - Foto: Hafiz Sohaimi

"Harapan saya, konsert itu nanti akan dapat membantu meringankan beban mereka," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahunnya yang ke-70 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini.

Menurut penyanyi yang cukup popular dengan lagu Ingin Bersua ini, beliau yakin konsert berkenaan akan mendapat sambutan kerana pada zaman itu, banyak lagu popular dikeluarkan.

"Sampai ke hari ini, lagu era 70-an masih diperdengarkan di corong radio. Lagu untuk hari raya adalah contoh terbaik. Saya percaya, anak-anak akan membeli tiket untuk dihadiahkan kepada ibu bapa mereka yang membesar dengan lagu pada zaman itu," kata Dave yang juga Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M).

Tambah Dave, selain ibu negara, konsert ini juga akan dibawa menjelajah ke beberapa kota besar dan bandar kecil di seluruh negara.

Terdahulu, Dave atau Irwan Shah Abdullah meraikan sambutan hari jadinya bersama 70 insan kurang bernasib baik daripada pelbagai organisasi kebajikan.

Selain dihiburkan dengan persembahan nyanyian, mereka turut diberi peluang merasai pengalaman menaiki helikopter.

Berita Harian X