Sabtu, 3 Februari 2018 | 4:38pm
PENYANYI, Wani atau nama penuhnya, Nur Syazwani Selamat. - Foto Aziah Azmee
PENYANYI, Wani atau nama penuhnya, Nur Syazwani Selamat. - Foto Aziah Azmee

Lucu disangka kembar Wanie Kayrie

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang popular dengan lagu Alhamdulillah, Wani mengakui, masih ramai peminat yang keliru apabila memanggilnya Wani Kayrie gara-gara persamaan nama.

Pemilik nama penuh, Nur Syazwani Selamat, 21, itu bagaimanapun, percaya peminat dapat membezakan identiti mereka menerusi lagu dan lenggok nyanyian masing-masing.

"Lucu juga ada yang tersilap dan memanggil saya Wani Kayrie apabila berjumpa di luar, terutama mereka yang kali pertama bertemu.

"Isu itu tidak menjadi hal besar kerana paling utama orang kenal dan tahu lagu yang saya nyanyikan. Kelakar juga apabila ada peminat menyangka kami adalah kembar disebabkan isu nama serupa.

"Setakat ini, saya tidak terfikir untuk menambah nama lain bagi mengelakkan kekeliruan itu berlarutan. Sebelum ini, ada juga yang memanggil saya sebagai Wani GGV apabila saya menyertai program Gema Gegar Vanganza (GGV), tahun lalu," katanya.

Mengenai perkembangan terbaru, Wani yang sebelum ini berduet dengan Juzzthin bakal muncul dengan single solo berjudul Aku Selalu Setia ciptaan Patrick Kamis.

Gadis kelahiran Batu Pahat, Johor itu berharap, kemunculan single baharu yang mengangkat genre muzik semasa mampu memperkemaskan langkahnya sebagai penyanyi solo.

Ini kerana kata Wani, sejak menyertai GGV ramai menyangka dia lebih cenderung kepada irama nasyid kontemporari. Wani berharap kemunculan Aku Selalu Setia akan mengikis tanggapan itu.

"Ikutkan saya lebih serasi dengan genre pop balada, tetapi ketika bertanding dalam GGV, saya perlu membawa lagu yang menjurus kepada elemen kemanusiaan dan ketuhanan. Sesiapa yang mengikuti program realiti itu tentu faham format yang diketengahkan.

"Dengan penerbitan single baharu ini, saya yakin ia mampu mengikis persepsi itu. Saya juga semakin bersemangat untuk bergerak solo kerana sebelum ini berduet dengan Juzztin," katanya yang turut meminati bidang pengacaraan.

Berita Harian X