Jumaat, 2 Februari 2018 | 9:12am
IZZUE bersama isteri, Awin Nurin, pada majlis pelancaran Muzik Tiduranku di Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
IZZUE bersama isteri, Awin Nurin, pada majlis pelancaran Muzik Tiduranku di Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Abadi perkenalan dengan isteri dalam lagu

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Izzue Islam, mendedahkan ilham menghasilkan single terbarunya, Muzik Tiduranku, tercetus ketika beliau berkenalan dengan isterinya, Nurinafilah Waharudin atau lebih dikenali sebagai Awin Nurin.

Menurut Izzue atau nama lengkapnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 27, rasa cinta yang mendalam terhadap wanita itu bukan hanya diabadikan dalam lagu, malah Awin sendiri membuat penampilan khas dalam video muziknya.

"Lagu ini diinspirasikan daripada detik manis kali pertama saya berkenalan dengan Awin. Bagaimanapun, ketika itu lagunya bukanlah seperti yang didengar hari ini.

"Liriknya berkisar kepada luahan rasa cinta, kasih dan rindu terhadap pasangan masing-masing. Lebih bermakna, melodi dan liriknya dihasilkan kami sendiri supaya perasaan itu lebih dirasai lagi," kata Izzue, yang juga anggota kumpulan Forteen, kepada BH Online.

Mengulas mengenai gambarnya yang tidur meniarap seperti dilihat pada foto yang menghiasi kulit single itu, Izzue menjelaskan ia adalah simbolik kepada maksud keseluruhan lagu.

PELAKON dan penyanyi, Izzue Islam, menunjukkan single baharu nyanyiannya, Muzik Tiduranku, pada majlis pelancaran lagu terbabit di Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
PELAKON dan penyanyi, Izzue Islam, menunjukkan single baharu nyanyiannya, Muzik Tiduranku, pada majlis pelancaran lagu terbabit di Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

"Selalunya, ketika hendak tidur kita akan teringat kepada orang yang kita sayang dan perasaan rindu tiba-tiba menerpa dalam ingatan. Situasi itu cuba saya nyatakan dalam gambar terbabit," katanya.

Ketika single baharunya diperkenalkan, seorang lagi anggota Forteen, Ameerais, turut menghasilkan lagu solo berjudul Pulangkan Cinta.

Ditanya, apakah keadaan itu secara tidak langsung mencetuskan persaingan antara mereka, Izzue berkata, beliau terbuka dalam perkara itu.

"Walaupun masing-masing mempunyai lagu baharu, genre muzik kami berbeza. Sekurang-kurangnya, kami memberi pilihan kepada peminat Forteen.

"Kalau bersaing sekali pun, saya anggap ia persaingan yang sihat dalam industri seni," katanya positif.

Single dan video Muzik Tiduranku dilancarkan pada 31 Januari lalu di Shah Alam.

Berita Harian X