Isnin, 29 Januari 2018 | 4:16pm
Ameerais pertaruh Pulangkan Cinta.
Ameerais pertaruh Pulangkan Cinta.

Ameerais Forteen cuba nasib nyanyi solo

KUALA LUMPUR: Keputusan anggota Forteen, Mohd Arif Ameerais Azhar atau Ameerais, untuk tampil dengan single solo berjudul Pulangkan Cinta bukanlah amalan pelik dalam kumpulan terbabit.

Selain bergerak sebagai sebuah kumpulan sejak 2011, anggotanya turut melakukan kegiatan lain secara berasingan sama ada membabitkan seni atau sebaliknya.

Izzue Islam umpamanya turut menghasilkan single solo di samping aktif sebagai pelakon, manakala Rizu pula menjalankan perniagaan spa lelaki selain menyertai program nyanyian, sementara Ariz turut bergelar pelakon dan menjalankan perniagaan produk penjagaan diri.

"Setakat ini, apabila masing-masing menjalankan aktiviti sendiri, ia bukanlah masalah besar di kalangan anggota Forteen. Ia dilihat sebagai strategi individu untuk memajukan diri dan mengembangkan bakat. Saya sendiri ingin mencabar dan memajukan diri di arena seni.

"Bahkan, sebelum hadir dengan single sendiri, saya juga pernah ditampilkan dalam lagu Hitam bersama kumpulan Dualiti, pada 2014.

Mohd Arif Ameerais Azhar atau Ameerais.
Mohd Arif Ameerais Azhar atau Ameerais.

"Selain itu, saya turut mendapat sokongan jitu daripada teman sekumpulan untuk muncul dengan single ini," katanya kepada BH Online.

Bercerita lanjut mengenai lagu yang dicipta oleh Fendy Caliph Buskers dan Edry Abdul Halim itu, Ameerais, 27, memberitahu ia berkisar pada seseorang yang kehilangan sesuatu cukup disayangi.

"Menurut Fendy sendiri, lagu itu diilhamkan daripada kisah benar mengenai pasangan suami-isteri yang sudah bercerai dan mempunyai masalah dalam soal hak penjagaan anak," katanya mengenai lagu yang dirakamkan sekitar Ogos tahun lalu.

Mengenai Forteen, pemuda yang juga dikenali sebagai model itu memberitahu, mereka dijangka muncul dengan single baharu pada tahun ini.

"Setakat ini, projek berkenaan masih pada tahap perbincangan. Kami akan tetapkan tarikh untuk mendengar demo lagu terbabit," katanya yang mengharapkan kemunculan single Pulangkan Cinta diterima ramai, sekali gus membuka jalan buatnya bergelar penyanyi solo.

Kali akhir Forteen muncul dengan lagu baharu adalah pada tahun lalu menerusi Apa Ini Cinta, yang juga runut bunyi drama Menanti Februari.

Berita Harian X