Rabu, 17 Januari 2018 | 3:30pm
HAEL Husaini - Foto Aziah Azmee

'Abang Jampi' gementar reaksi peminat

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hael Husaini bakal tampil dengan single terbaharu yang berbeza genre daripada lagu Jampi yang masih 'berhantu' di corong radio.

Hael atau nama penuhnya, Hal Husaini Ramzi, 30, mengaku gusar menghasilkan single baharu selepas memikirkan harapan tinggi pendengar.

"Saya harap peminat tidak membandingkan single baharu dengan lagu Jampi yang mencetuskan fenomena. Ini kerana kedua-dua genre itu jauh berbeza. Jujur saya akui lagu Jampi mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Semoga peminat dapat menerima single kedua ini. Keputusan merakamkan lagu baharu umpama mengambil risiko. Saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi kerana tidak pasti sambutan yang bakal diberi pendengar.

"Perkara seperti ini tidak dapat dijangka. Sebelum ini, saya sendiri tidak menduga pertaruhan solo pertama mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat," katanya kepada BH Online.

Mengulas lanjut mengenai single baharunya itu, Hael berkata, dia masih mengekalkan formula sama iaitu 'mesra telinga' dan segar.

"Insya-Allah, single terbaharu saya bakal dipasarkan tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, Hael mengaku teruja digelar 'Abang Jampi' gara-gara populariti single sulungnya itu. Malah, kata Hael, peminat sering menyanyikan bait-bait lagu itu apabila bertemu.

Hael memulakan kerjaya seni melalui duo, Azhael bersama temannya, Azhar. Bagaimanapun, mereka memilih meneruskan karier secara solo, awal tahun lalu.

Berita Harian X