Ahad, 7 Januari 2018 | 1:39pm
PENERBIT Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim bersama anggota SO7, Adam (tengah) dan Eross (kanan) pada sidang media mengumumkan Konsert Sheila On 7 Live in Kuala Lumpur yang akan diadakan, bulan depan. - Foto Amirudin Sahib

Cepat berbincang rahsia SO7 kekal bersama

KUALA LUMPUR: Biarpun pernah diuji termasuk bertukar anggota, band popular Indonesia, Sheila On 7 (SO7) percaya keikhlasan dan kesediaan berunding, menjadi kunci kepada keutuhan kumpulan itu yang sudah 22 tahun bersama.

Pemain bes SO7, Adam Muhammad Subarkah memberitahu, sebagai sebuah band, insiden perselisihan faham dan masalah lain adalah perkara lumrah.

"Bergaduh tetap ada. Kadang-kadang dalam urusan penerbitan lagu juga boleh menyebabkan kami bergaduh.

"Tetapi kami akan selesaikan perkara itu secepat mungkin. Segala perasaan tidak puas hati akan dibawa berbincang.

"Selain itu, keikhlasan kami bermain muzik membuatkan kami mengetepikan soal remeh yang boleh membuatkan band berpecah," katanya pada sidang media mengumumkan Konsert Sheila On 7 Live in Kuala Lumpur yang akan diadakan, bulan depan.

Adam berkata, mereka cuba menyelesaikan setiap masalah dihadapi dan mengelak ia menjadi lebih buruk.

Sementara itu, menepis dakwaan kononnya sudah tidak lagi relevan dalam kalangan pendengar muzik tempatan, SO7 terbukti masih diterima di Malaysia berdasarkan kaji selidik penganjur konsert kumpulan yang popular pada era awal 2000 itu.

Penganjur Konsert Sheila On 7 Live in Kuala Lumpur pada 10 Februari depan, Shiraz Projects Sdn Bhd mengesahkan band yang popular dengan lagu Kekasih Gelapku itu, masih diminati ramai.

Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn Bhd, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya membuat kaji selidik dalam kalangan peminat muzik, September lalu.

"Kami mengedarkan borang kaji selidik kepada kira-kira 100 peminat di Lembah Klang. Tinjauan juga dibuat melalui borang dan emel yang diagihkan kepada peminat.

"Kami yakin membawa SO7 ke Malaysia kerana rata-rata peminat memilih band berkenaan untuk mengadakan konsert," katanya.

Konsert Sheila On 7 akan diadakan di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall di sini, pada 10 Februari depan.

Band itu dijangka mendendangkan 20 lagu popular antaranya Sephia, Dan, Seberapa Pantas, Melompat Lebih Tinggi dan Pria Terhebat.

Selain Adam, SO7 dianggotai Akhdiya Duta Modjo atau Duta sebagai vokalis; Eross Chandra (gitaris utama) dan Brian Kresno Putro (dram).

32 dibaca
Berita Harian X