Khamis, 21 Disember 2017 | 2:56pm
PENASIHAT Program Festival Jom Makan Makan, Datuk Mie Kuarters @ Azmi Zahari (tengah) bergambar bersama artis yang hadir pada sidang media Program Festival Jom Makan Makan yang diadakan di Restoran Haslam, Jalan Pahang. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din.

Tubuh koperasi bela nasib artis

KUALA LUMPUR: Memberi peluang artis berniaga selain menggerakkan usaha penubuhan Koperasi Sahabat Seni, Festival Jom Makan Makan akan dianjurkan di kawasan tempat letak kereta Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, selama empat hari, mulai esok.

Penasihat festival, Datuk Azmi Zahari berkata, usaha sedang digembleng untuk merealisasikan projek penubuhan koperasi khusus bagi membela nasib anak seni terutama artis veteran yang kehilangan punca pendapatan.

"Koperasi ini bertujuan menjana pendapat ahli termasuk melalui penganjuran festival yang akan diadakan sepanjang tahun di seluruh negara.

"Sebagai permulaan, Festival Jom Makan Makan diadakan di Selangor dan kita akan teruskan projek ini ke seluruh negara," katanya kepada BH Online.

Azmi berkata, seramai 10 artis akan turut serta antaranya bintang era 1990-an, Jamalul Hayat, Azlee Senario, Karl dari kumpulan rock Dinamik dan Blank anggota Gamma.

"Selain gerai jualan, persembahan pentas juga diadakan setiap malam sepanjang festival. Kanak-kanak juga boleh menyertai pertandingan idola kecil yang dianjurkan," katanya.

Azmi berkata, penceramah terkenal PU Yeop juga akan mengadakan siri ceramah dan sembang santai bersama pengunjung.

"Pengunjung bukan saja boleh merasa air tangan artis yang berniaga, malah mencuba pelbagai resipi menarik makanan tradisi Selangor," katanya.

Berita Harian X