Isnin, 4 Disember 2017 | 12:05pm
PENYANYI, Hael Husaini, kini popular dengan lagu Jampi ciptaannya bersama Ezra Kong.
PENYANYI, Hael Husaini, kini popular dengan lagu Jampi ciptaannya bersama Ezra Kong.

Jampi redakan tangisan kanak-kanak

SHAH ALAM: Hael Husaini tidak menduga lagu nyanyiannya, Jampi, mampu meredakan tangisan kanak-kanak yang sedang meragam.

Penyanyi yang juga seorang komposer itu berkata, beliau diberitahu mengenai perkara berkenaan apabila menerima banyak maklum balas daripada peminat yang menyatakan anak masing-masing berhenti menangis sebaik saja mendengar lagu terbabit.

Beliau berkata, kebanyakan mesej yang diterima itu adalah menerusi laman sosial bergambar Instagram.

"Pada mulanya, saya hanya tertawa sendiri dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memaklumkan mengenai perkara itu.

"Saya pastinya menghargai segala sokongan yang mereka berikan kepada lagu berkenaan.

"Saya sendiri tidak menyangka lagu Jampi dapat membantu kanak-kanak yang sedang meragam. Satu hari, anak saya, Nur Helena, menangis tidak berhenti dan saya juga sudah puas saya memujuknya.

"Saya teringatkan pesanan yang saya terima dan mula menyanyikan lagu Jampi. Syukur kerana Helena diam dan terus terlena," kongsinya kepada BH Online.

Helena yang baru berusia tujuh bulan adalah anak angkat Hael, yang diterimanya daripada sebuah keluarga sebaik saja bayi perempuan itu dilahirkan, Mei lalu.

Hael berkata, beliau sendiri tidak pasti mengenai 'keajaiban' lagu berkenaan dan beranggapan ia hanya satu kebetulan.

Bagaimanapun, beliau gembira kerana lagu terbabit diterima baik, bukan saja dalam kalangan orang dewasa tetapi juga kanak-kanak.

Hael mengakui, sambutan yang diterima lagu ciptaannya bersama Ezra Kong itu sangat luar biasa dan membuatkannya begitu teruja.

"Mestilah saya seronok dengan kejayaan lagu ini. Bayangkan, ia adalah single sulung saya selepas tampil solo.

"Saya juga mohon peminat semua doakan lagu ini akan berjaya di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 pada Februari depan," katanya yang sebelum ini mengorak langkah di arena seni bersama Azhar menerusi kumpulan duo, Azhael.

Mengenai persiapan untuk berentap pada AJL32 nanti, Hael berkata, beliau dan pasukannya masih melakukan perbincangan selain berusaha memberikan yang terbaik pada pertandingan terbabit.

Berita Harian X