Sabtu, 26 Ogos 2017 | 5:40pm
AYU Damit

Ayu masih minat menyanyi

KUALA LUMPUR: Meskipun sudah mempunyai kerjaya tetap, Ayu Damit masih berminat meneruskan bakatnya yang dicungkil menerusi program realiti, One In A Million musim kedua.

Ayu berkata, dia perlu bijak mencari peluang untuk kembali tampil dengan karya terbaru, sekali gus memacu semula kerjaya seninya yang kebelakangan ini dilihat seperti tenggelam timbul.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Di Mercu itu mengakui, semangatnya untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian tidak pernah bernoktah biarpun terpaksa menempuh pelbagai halangan.

Ketika ini, ibu kepada tiga cahaya mata itu sedang membuat persediaan untuk menampilkan sebuah album mini dengan mengekalkan genre balada yang menjadi kekuatannya.

"Tiga lagu sudah dirakamkan dan saya masih menanti beberapa sentuhan lagi untuk melengkapkannya. Mengikut perancangan, album ini akan menjadi runut bunyi untuk sebuah filem yang bakal ditayangkan hujung tahun ini.

"Keseluruhan lagu yang saya rakamkan secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan jalan cerita filem itu," katanya.

Akur perjalanan insan seni ada pasang dan surutnya, Ayu berkata, dia perlu bijak bersaing untuk memastikan kehadirannya tidak dilupakan peminat.

"Saya tidak pernah hilang atau berehat kerana nyanyian ialah minat utama. Cuma, realiti hidup insan seni, pasti ada pasang dan surutnya.

"Tidak selamanya kita akan terus meniti puncak. Saya pernah menghasilkan single baharu, tetapi tidak mudah untuk mempromosi sendiri.

"Tambahan pula, saya terikat dengan pelbagai komitmen selain kerja tetap. Saya bersyukur kerana majikan memahami, malah sentiasa memberi kelonggaran dan dorongan supaya saya terus aktif menyanyi," katanya.

Mengakui tawaran mengadakan persembahan pentas sudah tidak sehebat dulu, Ayu tetap bersyukur kerana perjalanan hidupnya kini lebih tenang dan teratur.

"Dulu, saya akan risau jika kurang menerima tawaran persembahan. Banyak perkara yang akan saya fikirkan, terutama perbelanjaan keluarga. Sekarang saya lebih selesa, malah pengurusan kewangan juga diatur dengan lebih baik.

"Mungkin pendapatan kini tidak sebesar dan semewah dulu, tetapi rezeki tetap ada," katanya.

Berita Harian X