Sabtu, 5 Ogos 2017 | 4:20pm
PELAKON, Zalif Sidek. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PELAKON, Zalif Sidek. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Zalif nekad urus sendiri kerjaya

KUALA LUMPUR: Lima tahun bernaung di bawah pengurusan Metrowealth (MIG) dan berpeluang membintangi 15 filem memberi keyakinan kepada Zalif Sidek mengorak langkah sendiri selepas kontraknya tamat.

Zalif berkata, banyak pencapaian yang membuatnya berbangga sepanjang menyertai pengurusan itu bermula pada 2011 terutama apabila diberi peluang menjadi teraju utama dalam filem Papa I Love You bersama Lisa Surihani.

"Semua itu akan kekal menjadi kenangan manis kerana tidak mungkin, terutama pelakon baharu memperoleh peluang bermakna seperti itu.

"Dalam tempoh singkat itu, saya turut terpilih menjadi pelakon utama dalam filem seperti Lu Gua Bro, Jangan Pandang Belakang Boleh dan Aji Noh Motor selain membawa watak pembantu," katanya.

Zalif nekad menguruskan kerjayanya sendiri kerana yakin pengalaman akan membantunya berdiri lebih kukuh.

Terbaru, Zalif menanti tayangan drama travelog 13 episod, Destinasi Ukhuwah siaran RTM. Menerusi drama terbitan Nuansa Films itu, Zalif berlakon di sisi Ameerul Affendi, Adam Shahz dan Fendy Bakry.

Drama arahan Suhaimi Zulkifli itu menerapkan konsep 'road movie' yang santai dan menghiburkan.

"Ia bermula dengan empat pelakon utama termasuk saya merantau dari Johor hingga ke Thailand. Di setiap negeri dan lokasi yang dilawati, turut dipromosikan masjid serta sejarahnya selain diselitkan unsur drama.

"Saya sedang menanti masa ke lokasi filem epik, Lekir. Sepatutnya filem ini sudah memulakan penggambaran tetapi ditunda. Berkemungkinan besar memulakan penggambaran bulan ini atau bulan depan.

"Saya akan memegang watak sebagai Umbai, iaitu pembantu kepada Hang Tuah lakonan Adi Putra.

Filem itu turut dibintangi Zulhuzaimy, Wan Hanafi Su, Soffi Jikan, Fouziah Gous dan Sharifah Sakinah," katanya.

Berita Harian X