Selasa, 1 Ogos 2017 | 6:59am
PASANGAN selebriti terkenal, George dan Amal Clooney. - Foto AFP
PASANGAN selebriti terkenal, George dan Amal Clooney. - Foto AFP

George Clooney, isteri bantu anak pelarian Syria

NEW YORK: Pasangan selebriti terkenal, George dan Amal Clooney, menyatakan kesediaan membantu 3,000 pelarian kanak-kanak Syria menghadiri sekolah tahun ini di Lubnan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kira-kira 200,000 kanak-kanak tidak mendapat pendidikan selepas melarikan diri daripada perang di Syria.

Yayasan Bagi Keadilan Clooney berkata, ia bekerjasama dengan enjin carian Google dan HP Inc untuk membantu agensi kanak-kanak badan dunia itu, UNICEF, dan Kementerian Pendidikan Lubnan membuka tujuh sekolah bagi pelarian kanak-kanak Syria.

Lubnan menerima lebih sejuta pelarian Syria, termasuk hampir 500,000 kanak-kanak.

Ia mendidik kanak-kanak Syria di sekolah awam menerusi sistem 'syif kedua' kelas tambahan pada waktu tengah hari khas untuk mereka.

"Kita tidak mahu kehilangan seluruh generasi kerana mereka tidak bernasib baik dilahirkan di tempat yang salah pada masa salah.

"Ribuan pelarian kanak-kanak Syria berada dalam risiko tidak menjadi sebahagian masyarakat produktif. Pendidikan rasmi boleh membantu mengubah keadaan itu," kata pasangan suami isteri itu dalam satu kenyataan.

Sumbangan berjumlah AS$3.25 juta (RM13 juta) daripada yayasan berkenaan, Google dan HP akan disalurkan untuk tujuan pengangkutan, bekalan sekolah, komputer, kandungan, kurikulum serta latihan guru. - Reuters

Berita Harian X