Khamis, 7 Oktober 2021 | 2:31pm

Halaqah musim baharu lebih padat, menarik

PETALING JAYA: Program bual bicara terbaik Anugerah Skrin 2016 dan 2018 kini kembali dengan kupasan topik lebih menarik di samping tokoh ilmuan jemputan pada setiap Ahad, jam 10.30 malam bermula 3 Oktober. 

Lebih menarik, Halaqah musim baharu yang akan bersiaran sebanyak 13 episod turut mengundang penggiat seni tanah air di samping ilmuan negara yang terdiri daripada pakar pelbagai bidang dan juga penggiat seni.

Antara tetamu istimewa yang menghiasi Halaqah kali ini ialah Prof Dr Fariza Md Sham, Dr Zaharuddin Abd Rahman, Prof Ir Ts Dr Abd Rahim Abu Talib, Noradilah Mohd Sapie, Mohd Erfino Johari, Fedtri Yahya, Lah Ahmad, Datuk Rosyam Nor dan Saharul Ridzwan. 

Menerusi episod pertama, Halaqah akan membawa topik "Vaksin Untuk Hidup" yang akan dikupas oleh pakar ilmuan Datuk Dr Danial Zainal Abidin bersama panel analisis, Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan juga indikator, Ahmad Tirmizi Ali. 

Teruskan untuk menonton Halaqah untuk mendengar topik istimewa yang diterajui oleh Ahmad Noor Sulaiman selaku penerbit dan dibantu oleh Penolong Penerbit, Amani Ahmad @ Ayub dan Nor Nazdirah Mohd Nasir. 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter di @TV3Malaysia.

Berita Harian X