Isnin, 30 November 2020 | 1:09pm
Pengerusi Karyawan, Datuk Freddie Fernandez. - NSTP/Amirudin Sahib
Pengerusi Karyawan, Datuk Freddie Fernandez. - NSTP/Amirudin Sahib

Kembalikan fungsi Music Rights Malaysia

KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mahu kerajaan menghidupkan semula Music Rights Malaysia (MRM) Berhad sebagai badan tunggal mengutip royalti bagi menyelesaikan isu agihan royalti penggiat seni yang membelenggu sejak dua dekad lalu.

Sebelum ini, MRM diwujudkan sebagai syarikat tidak berasaskan keuntungan yang menjadi badan pelesenan tunggal menjalankan aktiviti kutipan royalti bagi badan pelesenan sedia ada.

Namun, susulan proses penggulungan syarikat secara sukarela oleh ahlinya, Julai lalu, MRM hilang kelayakan atau mandat dalam urus tadbir pelesenan muzik.

Berikutan itu, tiga badan pelesenan muzik iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd dan Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad masing-masing melakukan sendiri proses kutipan dan agihan royalti.

Sebuah lagi badan yang dahulunya di bawah MRM, Performer's Rights Interest Society of Malaysia (PRISM) pula diletakkan di bawah seliaan pelikuidasi, Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).

Pengerusi Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, berkata persatuan berharap kerajaan membenarkan MRM dengan tiga ahli iaitu MACP, PPM dan RPM beroperasi semula.

"Tujuh persatuan pengguna muzik menyokong kaedah ini. Mereka tidak harus membayar royalti kepada banyak pihak, sebaliknya, satu badan iaitu MRM.

"Mengikut kaedah ini, MRM mengagihkan royalti kepada tiga badan terbabit atas formula 2:1:1 atau 50 peratus kepada MACP yang membabitkan komposer, penulis lirik dan penerbit; 25 peratus kepada PPM (syarikat rakaman) dan 25 peratus lagi kepada RPM (artis).

"Karyawan turut mencadangkan agihan dibuat MRM dan tiga badan terbabit hanya melakukan pendaftaran ahli baharu," katanya.

Freddie mendakwa artis menjadi 'mangsa' apabila tidak menerima sesen pun daripada RM140 juta yang dikutip MRM sejak 2017.

"Bagaimanapun, MACP dan PPM mengambil bahagian masing-masing dan mengagihkannya kepada ahli, kecuali RPM," katanya.

Sehubungan itu, Karyawan mendesak penyanyi, Datuk Sheila Majid meletakkan jawatan sebagai Pengerusi RPM.

"Langkah ini membolehkan orang lain diberi peluang menjalankan tugas berat ini dalam menentukan royalti berjumlah lebih RM20 juta iaitu bahagian artis daripada RM140 juta, diagihkan kepada ahli yang mendaftar dengan RPM dan PRISM.

"Malangnya, PRISM sudah menutup operasi, tahun lalu," katanya.

Freddie berkata, usaha membawa isu royalti kepada SPRM adalah pilihan terakhir Karyawan bagi menyelesaikan kemelut royalti artis yang berlarutan.

"Kami berharap SPRM akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang terbabit dalam penyelewengan royalti sejak 20 tahun yang lalu," katanya.

Freddie berkata, bukan niatnya mencari musuh atau mengeruhkan keadaan, sebaliknya, beliau dan penggiat industri muzik mahu tahu ke mana royalti bernilai RM140 juta dialirkan.

"Kami mahu tahu ke mana jumlah royalti yang dikutip empat badan royalti sebanyak RM140 juta diagihkan.

"Siasatan SPRM boleh mengetahui sama ada betul atau tidak wang berkenaan diagihkan mengikut formula ditetapkan.

"Kami berharap proses agihan royalti dapat diselesaikan segera dan penggiat seni tidak perlu menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan wang mereka," katanya.

Sementara itu, Karyawan membantah pembabitan syarikat rakaman dan PPM terutama Pengerusinya, Rosmin Hashim dalam usaha menyelesaikan masalah agihan royalti.

"Mereka tidak begitu mengenali siapa artis yang harus menerima royalti yang belum diagihkan. Kerja itu adalah di luar bidang kuasa mereka," katanya.

Bulan lalu, Freddie yang juga Ahli Panel Penasihat SPRM berjumpa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki bagi melaporkan isu tunggakan royalti penggiat seni.

Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah berpendapat campur tangan SPRM dalam usaha menyelesaikan masalah royalti yang berlanjutan sejak beberapa tahun ini perkara baik untuk perkembangan industri muzik.

"Saya menyokong peranan SPRM menyelesaikan kemelut ini. Seperti kita sedia maklum, ia bukan perkara baru dalam industri muzik. Seperti isu cetak rompak, daripada zaman mula menyanyi sampai sekarang, tiada jalan penyelesaian.

"Namun, campur tangan SPRM adalah suatu perkara baru. Saya setuju soal royalti ini diselesaikan oleh SPRM. Bagi saya, ia perkembangan yang sangat positif untuk industri seni," katanya.

Mengulas isu berdepan dengan tunggakan bayaran royalti, penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu berkata, dia ada menerima royalti, tetapi bayarannya tidak sempurna.

"Saya tidak menafikan ada ruang yang tidak disempurnakan. Contohnya, lagu-lagu saya yang dimainkan di pusat beli-belah dan karaoke, ini adalah bayaran royalti yang patut saya dan penyanyi lain terima. Bayaran ini selalunya syarikat rakaman terlepas pandang.

"Saya tak kata tidak menerima bayaran, tetapi kadar yang diterima tidak memadai dengan putaran lagu-lagu di beberapa tempat awam," katanya.

Sementara itu, penyanyi popular era 1980-an, Salwa Abdul Rahman kesal royalti yang diterima seolah-olah tidak sejajar dengan jumlah putaran lagu di corong radio.

Salwa berkata, lagu popularnya, Cubit-Cubit Sayang masih diputarkan dan tidak mustahil karya itu menjana pendapatan.

"Ketika PRISM masih beroperasi, saya dapat royalti. Namun, selepas PRISM dimansuhkan, tiada lagi.

"Sama juga dengan artis lain. Kalau dapat royalti, jumlahnya terlalu sedikit. Kutipan berjuta-juta ringgit, tetapi takkan kami dapat sedikit?" katanya.

Salwa teringat insiden di mana pernah mendengar salah satu lagunya dimainkan di Sinar FM.

"Apabila royalti diterima, saya tengok balik penyata, tiada pula dinyatakan lagu terbabit diputarkan di stesen radio itu.

"Itu membuatkan saya pelik. Jika boleh, saya tidak mahu membangkitkan isu ini. Apa yang saya mahukan adalah isu agihan royalti dapat diselesaikan dengan segera.

"Bukan apa, dengan wang royalti inilah artis dapat hidup, apatah lagi dalam situasi pandemik COVID-19," katanya.

Salwa mencadangkan badan tunggal mewakili semua penyanyi terakhir menjalankan kerja kutipan dan agihan royalti.

"Sebelum ini, kami ada dua badan mengutip royalti untuk artis iaitu PRISM dan RPM.

"Secara jujurnya, apabila ada dua badan, penyanyi tersepit dan terpinga-pinga mahu memilih yang mana.

"Tetapi, saya tidak menyalahkan dua badan ini, mereka juga menjalankan tugas," katanya.

Berita Harian X