Isnin, 30 November 2020 | 12:56pm
Ketua Pengarah, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Mohd Roslan Mahayudin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Ketua Pengarah, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Mohd Roslan Mahayudin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Lebih RM130j royalti sudah diagih

KUALA LUMPUR: Lebih RM130 juta hasil kutipan royalti bagi tempoh tiga tahun sejak 2017, sudah diagihkan kepada tiga badan pelesenan untuk diserahkan kepada ahli masing-masing.

Tiga badan pelesenan terbabit adalah Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad.

Bagaimanapun, sejumlah RM11.7 juta kutipan royalti lagi belum diagihkan kepada sebahagian penyanyi dan pemuzik rakaman di bawah RPM dan Performer's Rights Interest Society of Malaysia (PRISM), yang kini diselia Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).

Pengarah, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Mohd Roslan Mahayudin, berkata MDI dan RPM dibantu jawatankuasa yang dibentuk secara sukarela oleh Caretaker Management Committee (CMC) MRM iaitu PRISM Performers Verification & Claims Committee (PPVCC), bagi menyelesaikan isu agihan royalti tertunggak ahli RPM dan PRISM.

"Bagi kutipan royalti yang sudah diagihkan kepada MACP, PPM dan RPM, setakat ini kita tidak mendapat sebarang rungutan daripada ahli tiga badan terbabit berhubung pembayaran royalti masing-masing.

"Namun, bagi sebahagian ahli RPM dan terutama, PRISM yang sudah dibubarkan, MDI masih berusaha mengenal pasti ahli yang layak mendapat royalti patut diagihkan.

"Apabila PRISM dibubar, kita menggalakkan ahlinya menyertai RPM. Pada peringkat ini, ada yang sudah berbuat demikian dan ada yang tidak.

"Kita harap ahli PRISM tampil untuk memudahkan proses agihan," katanya.

Sebelum ini, Music Rights Malaysia (MRM) Berhad diwujudkan sebagai syarikat tidak berasaskan keuntungan yang bertindak sebagai badan pelesenan tunggal menjalankan aktiviti kutipan royalti bagi badan pelesenan sedia ada.

MRM yang menerima deklarasi badan pelesenan daripada MyIPO berkuat kuasa 1 Januari 2017, dianggotai MACP, PPM, RPM dan PRISM. Namun, PRISM kini diletakkan di bawah seliaan pelikuidasi, MDI.

Susulan proses penggulungan syarikat secara sukarela oleh ahlinya Julai lalu, MRM hilang kelayakan atau mandat dalam urus tadbir pelesenan muzik.

Mohd Roslan berkata, PPVCC, JIM dan RPM diharap dapat mencapai sasaran menyelesaikan isu agihan royalti tertunggak menjelang bulan depan.

"Kita sudah tetapkan agihan royalti dapat dibuat Disember ini. Untuk tujuan itu, kita mengadakan mesyuarat setiap minggu dengan MDI.

"Namun, kita sedar, apabila isu tunggakan royalti ini dibawa kepada MDI, mereka perlu bekerja dengan cermat," katanya.

Mengulas dakwaan konon MyIPO melantik Pengerusi PPM, Rosmin Hashim untuk mengetuai PPVCC, Mohd Roslan menjelaskan, jawatankuasa itu ditubuhkan secara sukarela bagi menyelesaikan isu agihan royalti.

"Kita tidak lantik Rosmin. Kita tiada kuasa pun. Kita tidak boleh mengharapkan MDI untuk menguruskan hal ini sendirian tanpa pembabitan orang industri," katanya.

Sementara itu, Mohd Roslan berkata, MyIPO bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu.

"Kami serahkan siasatan kepada SPRM dan sedia bekerjasama memberi penjelasan.

"Bagaimanapun, setakat ini secara rasmi SPRM belum berjumpa kami. Namun, ada pegawai yang sudah dihubungi SPRM dan kami sudah beri penjelasan," katanya.

Memetik sumber, satu operasi dikendalikan di empat pejabat dipercayai terbabit dalam proses kutipan royalti iaitu Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, PPM dan RPM, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan mengesahkan, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung isu berkenaan.

Berita Harian X