Sabtu, 10 Oktober 2020 | 10:12pm
Gambar hiasan. - Foto Google
Gambar hiasan. - Foto Google

Agihan royalti penyanyi, pemuzik akan dibayar Disember

KUALA LUMPUR: Agihan royalti kepada penyanyi dan pemuzik yang terkesan berikutan pembubaran Music Rights Malaysia Berhad (MRM) pada 10 Julai lalu, akan dilakukan selewat-lewatnya Disember ini.

Perkara itu dipersetujui Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM), dan PRISM Performers Verification and Claims Committee (PPVCC) hasil daripada mesyuarat yang diadakan pada 5 Oktober lalu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam kenyataan bersama memaklumkan, kedua-dua kementerian itu amat prihatin dengan isu berkenaan dan berharap proses agihan royalti itu dapat diselesaikan segera.

"KPDNHEP dan KKMM komited membangunkan industri kreatif dan memberi keutamaan dalam kemudahan menjalankan perniagaan dan akan berusaha bersama-sama menangani isu ini berdasarkan undang-undang sedia ada," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan beberapa rundingan juga sedang berjalan dan berharap pihak terbabit dengan perkara itu dapat mematuhi tempoh yang ditetapkan bagi memastikan tiada kelewatan timbul dalam isu berkenaan.

"Bagi mendapat penyelesaian terbaik, ahli PRISM perlu memberi sokongan dan kerjasama kepada MDI selaku pemegang amanah, untuk mengesahkan nama ahli PRISM yang benar-benar layak menerima tunggakan royalti," menurut kenyataan itu.

Isu berkenaan juga boleh dikemukakan oleh pihak yang terbabit kepada Tribunal Hak Cipta, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sekiranya tiada persetujuan dicapai.

Tribunal Hak Cipta boleh menentukan isu yang dikemukakan pihak berkaitan, termasuk aduan oleh pencipta karya, pengendali, individu atau organisasi, rayuan oleh badan yang berlesen dan permohonan daripada mana-mana individu.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, Tribunal Hak Cipta boleh dihubungi melalui: e-mel : [email protected] No. Tel : 03-2299 8921/03-2299 8411 (Setiausaha, Tribunal Hak Cipta) Laman web : www.myipo.gov.my/en/copyright-tribunal/ – BERNAMA

Berita Harian X