Rabu, 18 March 2020 | 4:06pm
Kelly dilaporkan bakal mengacarakan Billboard Music Awards (BBMA) 2020.
Kelly dilaporkan bakal mengacarakan Billboard Music Awards (BBMA) 2020.

COVID-19 : Billboard Music Awards, BAFTA ditangguh

LOS ANGELES: Mematuhi langkah mengawal penularan COVID-19, acara anugerah yang menghimpunkan penggiat muzik di Amerika Syarikat (AS), Billboard Music Awards (BBMA) 2020, ditangguhkan.

BBMA yang dijadual disiarkan secara langsung dari Las Vegas pada 29 April depan, ditunda atas faktor keselamatan orang ramai.

Penerbit BBMA, National Broadcasting Company (NBC) dan Dick Clark Productions (DCP) memberitahu, selaras garis panduan semasa dan keselamatan artis, peminat, jemputan dan kru, acara berprestij itu ditangguhkan.

“Lebih dua dekad BBMA memberi penghormatan terbaik terhadap muzik melalui carta Billboard.

“Kami berharap dapat meraikan artis yang mendahului carta sepanjang tahun lalu. NBC dan DCP akan mengumumkan tarikh dan lokasi baharu acara ini pada masa terdekat,” kata kenyataan dikeluarkan dua syarikat terbabit, lapor agensi.

Bagi edisi 2020, penyanyi, Kelly Clarkson dilaporkan kembali mengendalikan acara ini. Kali ini, Garth Brooks bakal diumumkan sebagai penerima Anugerah Ikon dan membuat persembahan.

Billboard Latin Music Awards yang dijadual berlangsung di Mandalay Bay Events Center, Las Vegas, pada 23 April depan, juga ditangguhkan.

Sejak awal bulan ini, beberapa acara lain seperti Kids’ Choice Awards, iHeartRadio Music Awards dan Academy of Country Music Awards juga mengumumkan penangguhan program.

Malah, penganjur festival muzik seperti Coachella dan banyak lagi acara perhimpunan sosial turut ditunda.

Sementara itu, di London, United Kingdom (UK), British Academy Film Awards (BAFTA) turut ditangguhkan akibat COVID-19, lapor agensi.

Anugerah yang dijadual berlangsung pada 17 Mei depan, sebelum ini menetapkan 26 April sebagai hari mengumumkan calon bertanding. Namun, belum ada tarikh baharu ditetapkan. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X