Jumaat, 6 March 2020 | 6:15pm
Maya Karin antara pelakon yang membintangi filem Bulan & Pria Terhebat yang mula ditayangkan di seluruh negara, Khamis depan. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Maya Karin antara pelakon yang membintangi filem Bulan & Pria Terhebat yang mula ditayangkan di seluruh negara, Khamis depan. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

COVID 19: Penerbit filem Bulan & Pria Terhebat tak tangguh tayangan

PETALING JAYA: Penerbit filem Bulan & Pria Terhebat lakonan Maya Karin, Zahirah Macwilson dan Zizan Razak tidak bercadang menarik balik tayangan Khamis depan, ketika semua pihak mula mengambil langkah pencegahan COVID-19.

Ketua Pegawai Operasi Nizra Entertainment, Nik Iruwan Nik Izani berkata, pihaknya memantau dari masa ke semasa isu penularan COVID-19 termasuk kemungkinan pawagam ditutup, sebelum membuat tindakan susulan.

“Setakat ini, kita teruskan tayangan mulai Khamis depan kecuali jika keadaan menjadi bertambah teruk dan pawagam ditutup... Itu kita tidak boleh buat apa-apa.

“Kami akan pantau setiap hari. Kami yakin pengurusan pawagam mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penonton,” katanya.

Berikutan COVID-19, tayangan beberapa filem termasuk naskhah terbaru James Bond berjudul No Time To Die, dilapor ditangguhkan sehingga November depan.

Selain Zahirah, Maya dan Zizan, Bulan & Pria Terhebat yang mula ditayangkan di seluruh negara, Khamis depan, menampilkan Khir Rahman, Alif Hadi, Bell Ngasri, Didie Alias dan Aprena Menrose.

Biarpun berdepan risiko, Nik Iruwan yakin keputusan dibuat tepat.

“Sebelum ini, ada yang bimbang apabila filem Hantu Kak Limah ditayangkan pada musim pilihan raya, namun, kutipannya masih tinggi.

“Tiada waktu yang sesuai untuk tayangan filem. Kalau naskhah itu bagus, pasti ramai menontonnya.

“Lagipun, jika ditangguhkan, kita terpaksa bersaing dengan filem ‘blockbuster’ Hollywood pula," katanya pada majlis pratonton filem Bulan & Pria Terhebat di sini, malam tadi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X