Jumaat, 7 Februari 2020 | 9:05am
Pak Long dirawat di Hospital Sik sejak 25 hari lalu, selepas demamnya tidak kebah. - Ihsan Nur Muhammad Idhoffy Shafie
Pak Long dirawat di Hospital Sik sejak 25 hari lalu, selepas demamnya tidak kebah. - Ihsan Nur Muhammad Idhoffy Shafie

Pencipta lagu, penyanyi, Pak Long terlantar sebulan demam panas

SIK: Pencipta lagu dan penyanyi, Pak Long atau nama sebenarnya Shafie Ahmad, 54, yang terkenal melalui lagu ‘Selagi Ada Rindu’ kini terlantar di hospital akibat demam panas sejak bulan lalu.

Anaknya, Nur Muhammad Idhoffy, 18, berkata bapanya kini dirawat di Hospital Sik sejak 25 hari lalu, selepas demamnya tidak kebah.

“Saya setia menjaga abah di sini, abah tidak berselera makan menyebabkan berat badannya susut mendadak. Sehingga sekarang pelbagai ujian darah sudah dilakukan namun masih tidak menemui penyakit sebenar abah.

“Minggu depan abah akan jalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), jika masih tiada sebarang penyakit ditemui, kami akan ikhtiar untuk menjalani perubatan Islam pula,” kata anak kelima daripada tujuh beradik itu.

Idhoffy berkata, bapanya tidak mempunyai sejarah penyakit kronik sebelum ini kecuali hanya mengidap kencing manis yang masih terkawal.

Keadaan bapanya kini menyebabkan dia terpaksa dipapah untuk ke bilik air kerana tidak bermaya.

“Sebaik sahaja berpindah ke Sik pada awal Januari, abah terus demam. Kami berpindah ke sini kerana abah mahu mencari ilham untuk mencipta lagu dalam suasana kampung.

“Apabila terlantar begini, abah terpaksa membatalkan semua jemputan menyanyi di seluruh negara, dalam masa yang sama usahanya melancarkan single album terbaharunya ‘Demi Mu Kasih’ turut terbantut,” katanya.

Idhoffy juga turut meluahkan rasa kecewanya apabila terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab membuat berita palsu bahawa bapanya sudah meninggal dunia.

“Sebelum abah jatuh sakit, beliau aktif mencipta lagu. Saya sekeluarga harap semua peminat dan rakan seperjuangan abah dapat mendoakannya kembali sembuh supaya dapat meneruskan perjuangannya,” katanya ketika dihubungi.

Selain terkenal dengan lagu hit ‘Selagi Ada Rindu’, Pak Long turut dikenali menerusi lagu ‘Cinta Pantai Merdeka’ dan mencipta lagu ‘Al Jannah’ nyanyian Mawi.

Berita Harian X