Sabtu, 14 September 2019 | 7:35pm
PENGUNJUNG mendapatkan produk Alha Alfa pada acara #FANtastik Santai Bersama Peminat dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam. - Nurul Syazana Rose Razman

Alha Alfa hadiahkan tiket, kosmetik sempena #FANtastik ABPBH 32

PUNCAK ALAM: Penaja utama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Alha Alfa Cosmetics, memberikan pelbagai ganjaran kepada pengunjung bertuah yang memeriahkan acara santai bersama kelab peminat, #FANtastik dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur di sini, hari ini.

Pengasasnya, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau Alha Alfa, berkata antara hadiah berkenaan ialah tiket ke malam kemuncak ABPBH 32 dan pelbagai produk kosmetik.

"Saya sangat berpuas hati dan teruja melihat sambutan hangat diberikan pengunjung terhadap acara ini. Seronok melihat sikap ‘sporting’ peminat dan artis yang dicalonkan pada ABPBH 32 menjayakan aktiviti bersama-sama.


DATUK Alha Alfa menyaksikan pertandingan solekan pada acara #FANtastik Santai Bersama Peminat dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam. - NSTP/Mahzir Mat Isa

"Berikutan tidak dapat mengadakan demonstrasi solekan, hari ini, kerana cuaca yang kurang sesuai, kami menggantikannya dengan aktiviti lain. Ganjaran diberikan pula adalah 14 keping tiket ke malam kemuncak ABPBH 32 kepada pemenang.

"Empat belas tiket terbabit adalah sempena tarikh penganjuran acara #FANtastik ini, iaitu 14 September," katanya kepada BH Online.

Antara aktiviti yang dianjurkan pasukan Alha Alfa adalah kerusi berirama dan pertandingan solekan antara kelab peminat.

Sempena acara itu juga, Alha memberitahu, produk terbaru, set istimewa Borderless, turut dijual di ruang pameran mereka.

"Bagi acara ini, kami menyediakan lebih 200 set Borderless untuk dijual, selain pelbagai produk lain. Jadi, usah lepaskan peluang mendapatkan produk istimewa kami kerana kita ada beberapa jam sahaja lagi sebelum acara ini tamat, sekitar jam 11 malam," katanya.

Sementara itu, Khai Bahar Empire (KBE) iaitu kelab peminat penyanyi, Khai Bahar, memenangi hadiah wang tunai RM5,000 melalui inisiatif penaja bersama ABPBH 32, DuitNow dan kelab penyokong artis, sempena acara promosi kali ini.

Kejayaan itu diraih selepas KBE mencatatkan transaksi tertinggi bagi melanggan akhbar digital BH mulai Rabu lalu hingga jam 5 petang tadi.

Kelab itu juga beroleh RM1,000 selepas membuat transaksi tertinggi bagi melanggan akhbar digital BH mulai Rabu lalu hingga 12 tengah malam tadi.


KELAB peminat Khai Bahar memenangi wang tunai daripada penaja bersama ABPBH 32, DuitNow, selepas melakukan transaksi tertinggi pada acara #FANtastik Santai Bersama Peminat dan Showcase ABPBH 32 di Eco Grandeur, Puncak Alam. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Tiga lagi kelab peminat artis yang membuat lebih 2,000 transaksi dalam tempoh terbabit, iaitu Fattah Amin, DJ Lin dan Haqiem Rusli, turut menerima RM1,000 daripada DuitNow.

Replika cek kepada wakil KBE disampaikan Pengarang Eksekutif, Komersial dan Ehwal Semasa BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengurus Paynet, Heliziana Madzain. Turut serta, Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir.

ABPBH 32 akan mencapai kemuncaknya pada 22 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Berita Harian X