Jumaat, 13 September 2019 | 8:42pm
PEREKA fesyen terkenal, Rizman Nordin, selamat bergelar suami kepada ahli perniagaan, Nurida Suraya, hari ini. - Foto ihsan Rizman Nordin

Air mata gugur bila ternampak wajah arwah ibu - Rizman

KUALA LUMPUR: “Hati saya tersentuh sebaik sahaja melihat ramai saudara-mara, tak kira jauh mahupun dekat, sanggup datang semata-mata untuk melihat saya bernikah. Walaupun dalam keadaan kesihatan kurang mengizinkan, mereka tetap muncul.

“Saya juga gagal menahan air mata apabila ternampak kelibat wajah arwah ibu yang tersenyum memandang saya, sebaik sahaja selesai mengerjakan solat sunat,” kata pereka fesyen terkenal, Rizman Nordin.

Rizman berkata demikian kepada BH Online ketika diminta berkongsi perasaannya yang kelihatan begitu sebak sebaik sahaja selesai acara akad nikah, pagi tadi.

Rizman selamat dinikahkan dengan ahli perniagaan, Nurida Suraya, 30, dalam majlis yang diadakan di Seputeh, di sini.

Menurut pemilik jenama Rizman Ruzaini itu, bayangan wajah ibu tercinta, yang meninggal dunia 15 tahun lalu, di depan mata membuatkan dirinya tidak mampu menahan sebak.

Rizman turut meluahkan kesyukuran apabila impian menamatkan zaman bujang ketika usia mencecah angka 35 dimakbulkan Tuhan.

“Memang sejak dahulu saya menyimpan hasrat untuk berkahwin pada usia 35 tahun. Jadi, saya amat bersyukur apabila Tuhan memakbulkan doa saya. Moga mahligai kami bina ini kekal hingga ke akhir hayat,” ujarnya yang bergelar suami kepada Nurida dengan hanya sekali lafaz.

Pada majlis itu, Rizman menyerahkan mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin, namun jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Sementara itu, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, turut mendoakan kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga pasangan berkenaan.

“Alhamdulillah, Siti bersyukur dan gembira dengan ikatan yang terbina. Semoga kalian berdua dapat menerima pasangan masing-masing seadanya dan melayari rumah tangga dengan penuh keimanan.

“Siti juga percaya, mereka mampu menggalas tanggungjawab dengan baik kerana masing-masing sudah biasa hidup berdikari. Tak sabar nak tengok mereka menimang cahaya mata,” katanya.

Selain Siti, rakan selebriti lain yang hadir pada majlis pernikahan mereka ialah Ziana Zain, Nur Fazura Dan Erra Fazira.

Berita Harian X