Rabu, 4 September 2019 | 5:03pm
Datuk Alha Alfa (tengah) dan Datuk Ahmad Zaini (enam dari kiri) bersama barisan artis yang bakal menghangatkan malam kemuncak ABPBH 32. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Artis K-pop, gabungan bintang lama, baharu hangatkan kemuncak ABPBH 32

KUALA LUMPUR: Kemunculan artis K-pop yang bakal mengisi slot persembahan bersama penyanyi popular tempatan antara tarikan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Segmen istimewa itu antara kejutan yang menanti, bertepatan tema acara iaitu Melangkaui Sempadan, sekali gus membuktikan muzik mampu menjadi alat penyatuan antara kaum dan masyarakat dunia.

Menggandingkan nama berpengalaman, Datuk AC Mizal dan Elly Mazlein sebagai pengacara, ABPBH 32 turut menyaksikan gabungan penyanyi legenda serta bakat baharu menyerikan slot persembahan.

Bakal dipancarkan secara langsung menerusi TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 22 September ini, pentas ABPBH 32 dihangatkan dengan persembahan Aishah, Liza Hanim, Zizan Razak, Ismail Izzani, Zamaera, SonaOne, Alif, Ernie Zakri dan Idayu.


Menggandingkan nama berpengalaman, Datuk AC Mizal dan Elly Mazlein sebagai pengacara ABPBH 32. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Tidak ketinggalan, Ariff Bahran, Andi Bernadee, Hazama, Black, Akim Ahmad, De Fam, Stacy dan Sufian Suhaimi.

Pengarang Eksekutif, Komersial dan Ehwal Semasa BH, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, berkata pemilihan AC dan Elly sebagai pengemudi acara bertepatan tema.

“Masing-masing terbukti mencipta kemasyhuran dengan meneroka pelbagai cabang seni, selain mencabar diri untuk terus bertahan dan relevan dalam industri hiburan yang penuh pancaroba serta persaingan.

“Pengalaman dan kepakaran AC serta Elly dalam mengemudi acara anugerah menjadi sandaran ABPBH 32 untuk terus mencipta sejarah, sekali gus kembali diperkatakan di media sosial,” katanya.

Majlis pengumuman Prakemuncak ABPBH 32 yang dihadiri Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32. Shamshul Azree Samshir dan Pengasas Alha Alfa Cosmetics, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau Alha disempurnakan di Balai Berita, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Payments Network Malaysia (PayNet), Khairuan Abdul dan Penolong Pengurus Kanan, Komunikasi Pemasaran, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, Phang Rick Kee.

Sementara itu, ABPBH 32 turut menampilkan barisan penyampai trofi, terdiri daripada personaliti dan selebriti yang memiliki reputasi tersendiri dalam setiap bidang diceburi.

Mereka termasuk Alha Alfa, Ella, Zara Zya, Sharnaaz Ahmad, Tiz Zaqyah, Arslan Butt, Wany Hasrita dan Khai Bahar.

Turut diberi amanah menjadi penyampai trofi ialah Mimi Lana, Fikry Ibrahim, Amy Mastura, Shuib Sepahtu, Azar Azmi, Azhan Rani, Noorkhiriah, Mustapha Kamal dan Aida Khaleeda.

ABPBH 32 juga diserikan segmen karpet merah yang bakal disiarkan menerusi TV9, menggandingkan Hefny Sahad dan Ain Edruce bagi menghangatkan lagi liputan eksklusif dari lokasi acara.

ABPBH 32 yang mendapat sokongan Alha Alfa Cosmetics selaku penaja utama dan DuitNow sebagai penaja bersama bakal disiarkan secara langsung menerusi TV3 pada 22 September ini.

Ia mempertandingkan 13 kategori utama, selain dua kategori baharu, Artis Korea Popular dan Artis Indonesia Popular.

Turut dipertandingkan adalah lima kategori ’Online’, iaitu Artis Sensasi Popular, Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Watak Antagonis Popular dan Lagu Paling Boom.

Acara itu turut memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada anak seni menerusi kategori khas, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Undian peringkat Top 5 masih berlangsung dan akan ditutup pada 15 September ini. Undian boleh dibuat menerusi laman web ABPBH: www.abpbh.com.my.

Lagi gambar sidang media Prakemuncak ABPBH 32 - https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/13/2019/09/603576/sidang-media-...

2789 dibaca
Berita Harian X