Ahad, 1 September 2019 | 12:13am
PEMENTASAN Teater Pawana Isabella di Istana Budaya. NSTP/Mahzir Mat Isa

Pementasan Pawana Isabella disambung

KUALA LUMPUR: Persembahan teater Pawana Isabella yang mendapat sambutan hebat penonton akan disambung selama empat hari lagi, bermula 13 September ini.

Teater arahan Erma Fatima itu dipentaskan di Istana Budaya sejak 21 Ogos lalu dan berakhir hari ini.

Naskhah lakonan Syafiq Kyle, Janna Nick, Azar Azmi, Datuk Afdlin Shauki, Ozlyn Waty dan Johan itu kembali ke pentas sempena sambutan Hari Malaysia.


BARISAN pelakon Teater Pawana Isabella di Istana Budaya. NSTP/Mahzir Mat Isa

"Persembahan tambahan ini memberikan peluang kepada peminat dan penyokong teater tanah air yang tidak berkesempatan mendapatkan tiket menyaksikan persembahan sebelum ini.

“Mereka yang sudah menontonnya juga dialu-alukan untuk kembali berhibur dengan persembahan ini.

“Sokongan hebat ini tentu sahaja menjadi bukti untuk kami anak seni terus berkarya,” kata Erma kepada BH Online.

Erma juga tidak kisah teater garapannya dituduh mempersenda masyarakat Melayu, seperti digembar-gemburkan sebelum ini.

Dikatakan mengetengahkan isu amalan rasuah, sikap malas dan tidak bersatu dalam kalangan orang Melayu, Erma, 51, menyifatkan karyanya sebagai hadiah kepada golongan itu.

“Jika ada pihak terasa dan menganggap teater ini menyindir orang Melayu, terpulanglah kepada persepsi masing-masing.

“Sebagai pengkarya, saya berhak untuk membuka mata orang Melayu yang masih diulit mimpi, ketika ini,” katanya yang turut dibantu pengarah muda, Naque Ariffin, mengarahkan teater terbabit.

Pawana Isabella membawa penonton ke suatu perjalanan bertemakan magis, menceritakan kisah keunggulan dan kejatuhan kerajaan Malayu Aksara di bawah Raja Pawana dan Permaisuri Isabella.

Negara Aksara ialah sebuah negara yang menyaksikan rakyatnya hidup dalam keselesaan dan kemewahan, namun tidak pernah bersyukur.

1385 dibaca
Berita Harian X