Sabtu, 24 Ogos 2019 | 9:00am
CALON Top 5 ABPBH 32 akan menemui peminat di Aman Central Alor Setar, Kedah, hari ini. - Foto NSTP

ABPBH 32: Nana nak duet dengan peminat di Alor Setar

ALOR SETAR: Siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32 yang bakal berlangsung di Aman Central, di sini, bukan sekadar merapatkan hubungan antara artis dengan peminat, malah mengeratkan silaturahim sesama finalis.

Mengakui hakikat itu, calon Top 5 kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Atiq Azman, berkata dia cukup teruja apabila berpeluang menyertai acara berkenaan, hari ini.

"Walaupun terbabit dengan industri sama, tetapi tidak semuanya saling mengenali kerana masing-masing berada dalam cabang seni berbeza.

"Justeru, peluang menyertai siri jelajah promosi ABPBH 32 ini tidak harus dilepaskan. Menerusi acara seperti inilah kita dapat berkenalan dengan rakan artis lain, di samping beramah mesra bersama peminat," katanya kepada BH Online.


PELAKON, Atiq Azman, ketika dalam perjalanan bersama rombongan siri jelajah ABPBH 32 ke Alor Setar. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sebagai tanda sokongan, Atiq atau nama lengkapnya Raja Muhammad Atiqullah Shah, 19, turut menguar-uarkan acara terbabit kepada peminatnya menerusi laman sosial.

"Alhamdulillah, sambutan yang diberi peminat sangat menggalakkan dan mereka tidak sabar untuk bertemu saya dan calon lain pada acara itu nanti," kata pelakon drama Nur itu.

Sementara itu, Siti Nordiana atau Nana, memaklumkan sudah merangka aktiviti ingin dilakukan bersama peminat yang memeriahkan siri jelajah berkenaan.

"Nana memang jarang datang ke sini (Alor Setar) dan apabila berpeluang berbuat demikian, Nana teringin merakamkan kenangan indah bersama peminat.

"Kalau boleh, Nana mahu berduet dengan peminat, menyanyikan lagu yang pernah Nana popularkan bersama arwah Acik," katanya yang dicalonkan dalam enam kategori pada ABPBH kali ini.


PENYANYI, Siti Nordiana, teringin berduet dengan peminat pada siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central Alor Setar, hari ini. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Bintang yang popular dengan lagu Hatiku Milikmu ini tersenarai sebagai calon Top 5 kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa, Penyanyi Wanita Popular DuitNow, Pengacara TV Popular, Artis Versatil Popular, Gandingan Serasi Drama Popular dan Lagu Paling Boom.

Siri jelajah kedua ABPBH 32 turut dihangatkan dengan kemunculan calon akhir lain seperti Delimawati, Afieq Shazwan, Adam Lee, Ryan Deedat dan kumpulan Insomniacks.

Sempena acara itu, pelbagai pengisian diaturkan di ruang legar utama pusat beli-belah berkenaan, bermula jam 10 pagi sehingga 6 petang.

Selain aktiviti persembahan, penaja utama ABPBH 32, Alha Alfa Cosmetics, bakal membuka gerai bagi membolehkan peminat dan pengunjung mengenali lebih dekat seterusnya mendapatkan produk keluaran mereka.

Pengasasnya, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil atau Alha pula akan mengadakan demonstrasi solekan di pentas utama, jam 1 tengah hari.

Penaja bersama, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), iaitu pengendali perkhidmatan pembayaran elektronik, DuitNow, akan memperkenalkan produk syarikat itu yang menjadi medium peminat melanggan akhbar digital BH sempena promosi ABPBH 32.

Sebelum malam kemuncak ABPBH 32 berlangsung pada 22 September depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), acara santai bersama kelab peminat iaitu #FANtastik dan showcase akan diadakan di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor, pada 14 September.

Berita Harian X