Jumaat, 16 Ogos 2019 | 10:08pm
TIMBALAN Pengarah PayNet, Khairuan Abdul, ketika berucap pada sidang media pengumuman Top 5 ABPBH 32 di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Pakej percutian ke Korea Selatan ganjaran pengguna DuitNow

KUALA LUMPUR: Penaja bersama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, DuitNow, menyedia ganjaran istimewa pakej percutian ke Korea Selatan kepada dua pemenang bertuah.

Selain itu, DuitNow memperuntukkan 100 tiket menyaksikan malam kemuncak ABPBH 32 bagi peminat yang menggunakan perkhidmatan berkenaan untuk melanggan akhbar digital BH sepanjang tempoh undian Top 5.

Menambah kehangatan kempen, 20 peminat bertuah berpeluang menghadiri sesi ramah mesra dan makan malam bersama pemenang kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow dan Penyanyi Wanita Popular DuitNow.

Perkara itu diumumkan Timbalan Pengarah Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Khairuan Abdul, pada sidang media pengumuman Top 5 ABPBH 32 di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Pengurus PayNet, Heliziana Madzin, berkata demam K-pop mendorong syarikat berkenaan menaja pakej pelancongan kepada pelanggan DuitNow.

“Hanya dua peminat akan dipilih memenangi hadiah ini dan mereka dibenarkan untuk membawa pasangan masing-masing,” katanya kepada BH Online.

Mengenai peraduan bagi menghadiri majlis makan malam dan ramah mesra bersama pemenang dua kategori terbabit, beliau berkata, maklumat lanjut berhubung perkara itu akan dikongsi di laman web rasmi ABPBH.

Undian Top 5 ABPBH 32 bermula Selasa ini sehingga 15 September depan.

Berita Harian X