Sabtu, 4 Mei 2019 | 3:21pm
PELAJAR, Shahfi Rafiq Shahrizal, diumumkan sebagai juara program Spotlight musim pertama di Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Peserta termuda juara Spotlight

KUALA LUMPUR: Peserta termuda, Shahfi Rafiq Shahrizal, 11, muncul juara pertandingan realiti, Spotlight musim pertama, yang berlangsung di Istana Budaya, di sini, malam tadi.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Melawati itu menewaskan tiga finalis lain pada acara kemuncak program cetusan inspirasi pelakon terkenal, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy.

Pada pertandingan terbabit, murid tahun lima itu menonjolkan keampuhan umpama pelakon berpengalaman ketika melaksanakan dua tugasan akhir.

Katanya, bersaing dengan peserta lebih dewasa dan matang memberi kelebihan kepadanya supaya terus bersemangat untuk melipatgandakan usaha.

"Walaupun saya masih kanak-kanak, abang dan kakak (peserta) tidak pernah memandang rendah keupayaan saya, malah mereka juga banyak membantu.

"Begitu juga dengan tenaga pengajar, terutama Auntie Ogy, yang tidak jemu memberikan semangat dan berkongsi idea bagi persembahan malam kemuncak ini.

"Saya berharap, kemenangan ini membanggakan keluarga selain membuka peluang untuk saya menjadi pelakon," katanya selepas majlis penyampaian trofi dan hadiah.

Kemenangan itu melayakkan Rafiq membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 dan pakej percutian. Dia juga bakal muncul bersama rancangan sendiri menerusi TV dalam talian, Ogytv.com.

Sementara itu, seorang lagi calon pilihan, Tia Fatihah Mohd Zaib, 25, meraih tempat kedua yang membolehkannya menerima RM5,000, bersama hadiah sampingan lain.


PESERTA akhir Spotlight, (dari kiri) Liliana Latiff, Tia Fatihah, Shahfi Rafiq dan Andi Lisso (kanan) bersama hadiah masing-masing. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Peserta dari Palembang, Indonesia, yang juga komposer dan pemuzik, Ani Lisso, 36, menduduki tangga ketiga manakala wakil Singapura, Liliana Latiff, 25 di tempat keempat.

Berbeza dengan Rafiq dan Tia yang menonjolkan bakat lakonan, Andi mempamerkan aksi nyanyian dan Liliana pula mempamerkan kemahiran sebagai penceramah motivasi.

Program yang bermula sejak akhir Februari lalu itu dijalankan selama lapan minggu dengan setiap peserta dimestikan melaksanakan cabaran mingguan.

Menariknya, bakat yang bertanding bukan sekadar dalam arena nyanyian atau lakonan, sebaliknya termasuk mereka yang mempunyai pelbagai kelebihan lain.

Selain Ogy selaku ketua juri dan penasihat, barisan panel penilai lain ialah pelakon merangkap Ketua Program Teater Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA, Dr Norzizi Zulkifli; jururunding jenama bebas, Azmi Ali; serta pengarah, Pat Ibrahim.

Berita Harian X