Isnin, 25 Februari 2019 | 10:47am
REGINA King memenangi trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam If Beale Street Could Talk. Foto Reuters
REGINA King memenangi trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam If Beale Street Could Talk. Foto Reuters

Anugerah Academy: Regina King, Mahershala Ali tepati ramalan

LOS ANGELES: Bintang If Beale Street Could Talk, Regina King, 48, menepati ramalan ramai apabila membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Academy Ke-91.

Pada acara yang berlangsung di Dolby Theatre itu, King mengetepikan saingan Amy Adams, Rachel Weisz dan Emma Stone.

Terdahulu, King membolot penghargaan yang sama pada Anugerah Golden Globe, baru-baru ini.

If Beale Street Could Talk arahan Barry Jenkins adalah filem adaptasi daripada novel James Baldwin terbitan 1974. King membawakan watak Sharon Rivers iaitu ibu kepada karakter utama, Tish lakonan Kiki Layne.

Dalam ucapannya, King meluahkan penghargaan kepada Baldwin dengan menyatakan penulis itu sebagai antara pengkarya terbaik sepanjang zaman.

MAHERSHALA Ali memberikan ucapan selepas diumumkan sebagai pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Foto Reuters
MAHERSHALA Ali memberikan ucapan selepas diumumkan sebagai pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Foto Reuters

Sementara itu, calon pilihan ramai, Mahershala Ali yang menyerlah menerusi filem Green Book memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Ali memadamkan harapan Adam Driver yang dicalonkan menerusi filem BlacKkKlansman, Sam Elliott (A Star Is Born), Richard E Grant (Can You Ever Forgive Me?) dan Sam Rockwell (Vice).

Ia adalah kemenangan kedua Ali yang meraih Oscar pertama, dua tahun lalu menerusi persembahan cemerlangnya dalam Moonlight.

Dalam ucapannya, Ali berkata, dia teruja membintangi filem yang berkisar mengenai perhubungan dan perbezaan warna kulit kerana jalan ceritanya mempunyai keunikan tersendiri.

“Watak Dr Shirley adalah peluang terbaik yang datang tepat pada masanya,” katanya mengenai filem biopik mengisahkan persahabatan antara pemain piano, Dr Don Shirley dan pemandunya, Tony ‘Lip’.

Sementara itu, Black Panther yang dicalonkan dalam tujuh kategori mula mengutip trofi terawal menerusi dua kemenangan untuk kategori, Rekaan Kostum Terbaik dan Rekaan Produksi Terbaik.

Ruth Carter yang bertanggungjawab menterjemahkan persalinan masyarakat Wakanda dalam filem itu pernah dua kali menerima pencalonan Oscar menerusi Malcolm X dan Amistad. - Agensi

Berita Harian X