Jumaat, 3 Ogos 2018 | 7:52pm
Ezzah Aziz Fawzy. - Foto NSTP
Ezzah Aziz Fawzy. - Foto NSTP
Nurfarahin Jamsari. - Foto NSTP
Nurfarahin Jamsari. - Foto NSTP
KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak. - Foto: Mahzir Mat Isa
KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak. - Foto: Mahzir Mat Isa
PENGACARA terkenal, Datuk Mahadzir Lokman.- Foto: Facebook Mahadzir Lokman
PENGACARA terkenal, Datuk Mahadzir Lokman.- Foto: Facebook Mahadzir Lokman

Arwah 'Abang Besar' pembaca berita, pengacara - Ezzah

KUALA LUMPUR: Kepergian Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman, 61, yang menghembuskan nafas terakhir pagi tadi dianggap sebagai kehilangan besar kepada dunia penyiaran, terutama TV3.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak, berkata pengacara disegani ramai itu adalah ikon dalam industri terbabit dan cukup profesional serta berketerampilan.

"Allahyarham ialah ikon besar dalam industri televisyen, terutama TV3. Beliau contoh pengacara yang berketerampilan, profesional dan disegani ramai.

"Daripada pihak pengurusan, kami dengan rasa pilu ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga beliau. Saya secara peribadinya mengenali dan berurusan dengan beliau ketika beliau menjadi Pengerusi Balai Seni Negara.

"Beliau seorang yang tulus dalam setiap usaha dalam meningkatkan industri kreatif negara," katanya.

Sementara itu, teman sekerja yang juga berpangkat anak saudara Allahyarham, Ezzah Aziz Fawzy, berkata sepanjang mengenalinya, arwah dianggap sebagai 'Abang Besar' dalam kalangan pembaca berita dan pengacara.

Katanya, walaupun tegas, beliau sangat disenangi ramai terutama pembaca berita junior kerana tidak kedekut ilmu, pandai mengambil hati dengan lawak bersahaja dan pemurah.

"Saya sebenarnya menjadi pembaca berita secara kebetulan selepas diminta menggantikan Wan Zaleha Radzi yang ketika itu dihantar menjalani latihan di luar negara. Jadi, Allahyarham antara yang banyak membantu.

"Biarpun beliau berpangkat bapa saudara, iaitu sepupu ayah saya, ketegasannya mengajar sama seperti orang lain. Kalau salah memang dia tegur, tetapi kami tak ambil hati sebab tahu beliau mahu semua pembaca berita menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin.

"Arwah juga paling pantang kalau kita salah sebut sesuatu perkataan. Pesannya, sebagai pembaca berita apa yang kita sampaikan boleh membuatkan penonton, termasuk pelajar sekolah, terikut-ikut.

"Beliau meminta kami bertanya sendiri kepada mereka yang arif, seperti pihak kedutaan sesuatu negara, bagi mendapatkan sebutan yang betul. Allahyarham sangat berdedikasi dalam melaksanakan tugasnya," katanya.

Menurut Ezzah lagi, kali terakhir dirinya bertemu Allahyarham adalah sekitar tahun lalu di hospital, namun mereka kerap berhubung menerusi laman sosial.

Bagi Nurfarahin Jamsari pula, Mahadzir dianggap sebagai antara individu istimewa yang dianugerahkan bakat luar biasa, malah belum ada pengacara setanding dirinya.

"Tiada siapa yang boleh menggantikan tempatnya kerana arwah seorang insan yang begitu besar bakatnya dalam bidang penyiaran. Sikapnya yang komited terhadap kerja juga banyak mengajar saya dalam pengacaraan dan sebagai pembaca berita.

"Beliau tidak lokek berkongsi ilmu sejak saya mula bekerja dengannya pada 1987 untuk program Sekapur Sirih, hingga kami bekerjasama sebagai pembaca berita di TV3.

"Sikapnya yang prihatin sebagai seorang abang juga membuatkan banyak pihak senang dengan beliau. Malah, arwah juga bersikap penyayang dengan menganggap rakan rapatnya sebagai adik," katanya.

Nurfarahin dalam nada hiba berkongsi, kali terakhir mereka bertemu adalah pada 7 Julai lalu pada sebuah majlis perkahwinan. Difahamkan, ketika itu arwah yang bertugas sebagai pengacara majlis 'lari' sebentar dari hospital.

Ulasnya lagi, Allahyarham kelihatan lemah berbanding sebelum ini dan selepas itu arwah yang dimasukkan ke hospital sekali lagi memilih untuk tidak menghebahkan perihal terbabit kerana enggan orang sekeliling bimbang.

Sebelum ini, arwah dilaporkan koma dan berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya pada September tahun lalu.

Berita Harian X