Jumaat, 13 September 2019 | 5:27pm
PELAKON dan penyanyi, Lufya Omar, bersama suami, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, dan anak perempuan mereka, Laana Haura. - Foto Instagram Lufya

Sudah cukup lama saya dianiaya - Lufya

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Lufya Omar, mendakwa dianiaya suami sendiri, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 29, yang dikatakan tiga bulan setengah lari daripada menunaikan tanggungjawab.

Kata pemilik nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar, 34, itu, dia sudah lama bersabar dengan sikap lelaki berkenaan yang didakwanya beberapa kali mengulangi kesalahan sama, seawal perkahwinan mereka.

"Ini caranya nak tangani masalah? Lari daripada tanggungjawab tiga bulan setengah berturut-turut. Jangan cakap saya tak tutup aib suami, kalau suami tak tutup aib sendiri.

“Terlalu lama kesabaran saya diduga. Sejak tiga bulan kita berkahwin, awak sudah buat penganiayaan yang tak terjangkau fikiran.

“Kesalahan itu awak ulang sehingga enam kali! Saya diam, sampai tak lagi mampu memikulnya sendiri. Luka di badan tak sesakit luka dalam hati ini. Terima kasih,” katanya menerusi luahan di Instagram, malam tadi.

Bintang Mahar Tanpa Cinta itu mendirikan rumah tangga dengan Hafiz pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang anak, Laana Haura, yang kini berusia dua tahun.

Kisah pergolakan rumah tangga mereka dihidu media pada Oktober tahun lalu hingga diperkatakan ramai, malah ada pihak mendakwa pasangan terbabit mahu berpisah.

Namun, menerusi di Instagram (IG), Lufya menjelaskan perkahwinan mereka masih utuh, selain meminta orang ramai tidak membuat spekulasi.

Pada masa sama, menerusi perkongsian status malam tadi, dia turut memuat naik gambar paparan skrin Instagram Hafiz yang didakwa sudah menyekatnya.

"Follow.. Unfollow.. Blocked? Follow.. Unfollow.. Blocked?

"Sudah cukup lama saya dianiaya! Macam-macam fitnah isteri pada keluarga, hanya untuk menutup kesalahan besar awak. Cukup-cukuplah," katanya lagi.

Tambah Lufya, dia tidak menyangka ujian besar untuk menjadi isteri solehah, hingga sanggup mendiamkan diri, membuatkannya berdepan masalah kemurungan.

"Saya bercita-cita mahu menjadi isteri solehah. Sebab itu saya diam sampai makan diri. Saya pernah sakit kemurungan. Tak sangka nak jadi isteri solehah sesukar ini cubaannya," luahnya.

Status berkenaan turut meraih perhatian ramai, termasuk rakan artis, yang berharap dirinya diberi kekuatan untuk melalui dugaan itu dan demi anaknya.

Berita Harian X