Rabu, 6 Julai 2022 | 12:32pm
Kawasan perumahan dan jalan dinaiki air susulan air di Sungai Hawkesbury melimpahi tebing di Windsor, New South Wales, Australia susulan hujan lebat yang masih berterusan. - Foto EPA
Kawasan perumahan dan jalan dinaiki air susulan air di Sungai Hawkesbury melimpahi tebing di Windsor, New South Wales, Australia susulan hujan lebat yang masih berterusan. - Foto EPA

Puluhan ribu lagi diarah berpindah di Sydney akibat banjir

SYDNEY: Ribut yang membadai beberapa kawasan di Sydney bersama hujan lebat selama empat hari dikesan bergerak meninggalkan bandar itu berdasarkan imej satelit hari ini, namun beberapa sungai masih mencatat paras bahaya.

Lebih 85,000 penduduk New South Wales, dengan kebanyakannya di barat pinggir bandar Sydney, diminta berpindah atau akan menerima arahan berpindah, berbanding hanya 50,000 penduduk semalam.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata keadaan semasa kekal berbahaya dan tindak sewajarnya perlu diambil.

Beliau turut mengumumkan pemberian bantuan wang tunai bencana secara sekali bayar berjumlah AS$680 (RM3,000) kepada penduduk yang terkesan banjir.

Ribut dengan tekanan rendah berhampiran pesisir timur Australia itu bergerak ke pesisir utara menuju ke tengah New South Wales sepanjang 300 kilometer (km), dan biro cuaca meramalkan hujan melebihi 200 milimeter (mm) di kawasan itu dalam tempoh enam jam.

Hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu memenuhi kawasan takungan sungai yang semakin menghampiri kapasiti penuh di sekitar Sydney.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa krisis banjir kali ini mungkin berterusan hingga awal minggu depan.

Cuaca di pesisir timur Australia kini dipengaruhi La Nina selama dua tahun berturut-turut, fenomena yang dikaitkan dengan jumlah hujan lebih tinggi.

Fenomena itu berakhir bulan lalu, namun terdapat kemungkinan ia bakal berlaku semula tahun ini, kata Biro Meteorologi Australia.

Siaran televisyen menunjukkan kereta diletakkan di atas bumbung, penduduk meletakkan beg pasir di sepanjang premis kediaman dan perniagaan, manakala anggota penyelamat dilihat menyelamatkan haiwan ternakan yang terperangkap.

Beberapa kawasan di New South Wales menerima hujan sebanyak 700 mm sejak Sabtu lalu, lebih tinggi daripada purata tahunan, namun cuaca sudah mula bertukar baik di Sydney.

"Kami meramalkan cuaca kering di Sydney esok dan Jumaat serta sedikit hujan pada hujung minggu, namun tidak selebat ketika ini," kata pakar kaji cuaca, Jonathan How kepada Syarikat Penyiaran Australia. - REUTERS

Berita Harian X