Jumaat, 4 March 2022 | 11:28am
Anggota Pasukan Pertahanan Australia membantu pembersihan selepas banjir di Daerah Pusat Perniagaan Lismore, New South Wales, Australia. - Foto EPA
Anggota Pasukan Pertahanan Australia membantu pembersihan selepas banjir di Daerah Pusat Perniagaan Lismore, New South Wales, Australia. - Foto EPA

Wilayah Australia dilanda banjir bakal alami hujan luar biasa

SYDNEY: Pihak berkuasa Australia pada Jumaat mengeluarkan amaran hujan lebih banyak berlaku pada hujung minggu ini di beberapa wilayah di timur negara itu yang dilanda banjir.

Ia sekali gus berkemungkinan menghalang usaha anggota penyelamat untuk tiba ke bandar paling teruk terjejas yang terputus hubungan berikutan hujan lebat berterusan.

Rekod hujan bagi tempoh seminggu ini adalah melebihi taburan hujan bagi jangka masa lebih setahun di beberapa tempat di selatan Queensland dan utara New South Wales, sekali gus mengakibatkan kemusnahan teruk yang menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal serta memusnahkan harta benda, ternakan dan jalan raya.

Sehingga kini, banjir mengorbankan 13 orang. Ini mengakibatkan amaran pemindahan banjir bagi beberapa bahagian di Sydney, bandar terbesar Australia diteliti semula, namun Biro Meteorologi (BoM) berkata sistem cuaca baharu boleh membawa satu lagi pusingan hujan lebat mulai Ahad.

"Ia bukan satu berita baik untuk kami di sini di timur New South Wales dan untuk kebanyakan negeri... keadaan penuh dengan kelembapan," kata ahli meteorologi BoM, Dean Narramore pada taklimat media.

Musim panas pantai timur Australia dipengaruhi corak cuaca La Nina yang biasanya dikaitkan dengan peningkatan hujan, dengan kebanyakan hampir mencapai kapasiti berikutan hujan berterusan sejak beberapa minggu lalu.

Perkhidmatan Kecemasan memberi amaran ribut petir dan hujan lebat akan terus meningkatkan risiko tambahan.

"Kami masih belum melepasi tempoh bahaya lagi. Namun paras sungai sangat tinggi, arus deras, banyak serpihan dan ia berbahaya kepada kawasan sekitarnya," kata Pesuruhjaya Perkhidmatan Kecemasan Negeri, Carlene York.

Sementara itu, ribuan warga Australia kembali ke kediaman dan premis perniagaan pada Jumaat bagi membersihkan serpihan dan lumpur selepas paras air mulai surut dengan hujan mula berhenti.

Di bandar Lismore di utara New South Wales, antara kawasan paling teruk dilanda banjir, Datuk Bandarnya, Steve Krieg berkata, ratusan tentera dan kru kecemasan akan mengetuai usaha menyelamat.

"Beberapa orang hilang belum berjaya dikesan dan pencarian serta pemulihan akan dilakukan hari ini," katanya menerusi catatan Facebook. - REUTERS

Berita Harian X