Ahad, 13 Februari 2022 | 10:21am
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison. - FOTO AFP
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison. - FOTO AFP

Australia pindahkan semua kakitangan kedutaan di Kyiv

SYDNEY: Australia mengarahkan semua kakitangan kedutaannya yang masih berada di Kyiv untuk berpindah, berikutan tindakan Russia menempatkan semakin ramai tentera di sempadan negara itu dengan Ukraine.

Arahan pemindahan itu menyusul selepas usaha rundingan diplomasi melalui panggilan telefon, semalam, gagal meredakan ketegangan yang semakin memuncak berhubung kemelut berkenaan.

Perdana Menteri, Scott Morrison, berkata Australia akan mengalihkan operasinya ke bandar Lviv yang terletak berhampiran sempadan Ukraine dengan Poland, iaitu kira-kira 540 kilometer timur Kyiv.

Beliau berkata, tiga kakitangan kedutaan yang masih berada di Kyiv telah membantu ramai rakyat Australia di Ukraine yang kebanyakannya memegang dua kerakyatan.

"Seperti yang anda dengar, situasi ketika ini bertambah buruk dan mencapai tahap sangat bahaya," katanya, hari ini.

Sambil mengutuk tindakan Moscow yang disifatkan sebagai autokratik dan unilateral, Morrison turut menyentuh isu politik serantau dengan mengkritik China kerana 'kekal berdiam diri berhubung penambahan tentera Russia yang ditempatkan berhampiran sempadan Ukraine.'

"Gabungan autokrasi yang kita lihat cuba membuli negara lain, bukanlah sesuatu yang dipandang ringan oleh Australia," katanya.

Sementara itu Menteri Luar Australia, Marise Payne, mengulangi gesaan supaya semua warga negara ini segera meninggalkan Ukraine, dengan memberi amaran bahawa 'keadaan keselamatan boleh berubah dalam notis singkat.' - AFP

Berita Harian X