Isnin, 13 September 2021 | 6:08pm
SpaceX bersedia untuk membawa empat orang secara eksklusif ke angkasa lepas pada misi tiga hari mengorbit Bumi. - Foto AFP
SpaceX bersedia untuk membawa empat orang secara eksklusif ke angkasa lepas pada misi tiga hari mengorbit Bumi. - Foto AFP

SpaceX dengan semua kru orang awam ke orbit Bumi

WASHINGTON: SpaceX bersedia untuk membawa empat orang secara eksklusif ke angkasa lepas pada misi tiga hari mengorbit Bumi sebaik saja syarikat Elon Musk memasuki persaingan pelancongan angkasa.

Penerbangan SpaceX disewa oleh jutawan Amerika, Jared Isaacman, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pemprosesan pembayaran Shift4 Payment berusia 38 tahun.

Beliau juga adalah seorang juruterbang berpengalaman.

Jumlah sebenar bayaran kepada SpaceX tidak dinyatakan, tetapi harganya mencecah puluhan juta dolar.

Misi itu sendiri adalah satu yang dianggap terbaik berbanding misi beberapa minit yang dinikmati oleh pelanggan Virgin Galactic dan Blue Origin dalam pengembaraan mereka sebelum ini.

Ini kerana SpaceX Crew Dragon akan meluncur lebih jauh dari orbit Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

"Risikonya tetap ada kerana anda berada di dalam roket dengan jarak 28,000 kilometer sejam (km/j) di sekitar Bumi. Di persekitaran seperti itu ada risiko," kata Isaacman dalam episod dokumentari Netflix mengenai misi itu.

SpaceX telah melakukan tidak kurang 10 perjalanan angkasawan ke ISS bagi pihak NASA, tetapi ini adalah kali pertama membawa angkasawan bukan profesional.

Pelepasannya dijangka pada Rabu jam 8.00 malam Waktu Timur dari tapak pelancaran 39A, di Pusat Kennedy NASA di Florida, lokasi di mana misi Apollo ke bulan berlaku.

Selain Isaacman yang juga komandan misi, tiga lagi yang dipilih untuk misi itu ialah Hayley Arceneaux, 29, bekas pesakit barah tulang; Chris Sembroski, 42, bekas veteran Tentera Udara AS yang kini bekerja di industri penerbangan dan Sian Proctor, 51, seorang profesor sains bumi. - AFP

Berita Harian X