Ahad, 2 Mei 2021 | 6:45pm
Reaksi angkasawan Mike Hopkins (tengah) tatkala dibantu keluar dari kapal SpaceX Crew Dragon. - Foto AFP
Reaksi angkasawan Mike Hopkins (tengah) tatkala dibantu keluar dari kapal SpaceX Crew Dragon. - Foto AFP

Kapal SpaceX bawa angkasawan ISS mendarat di Florida

WASHINGTON: Siaran langsung Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) menunjukkan kapsul SpaceX Crew Dragon yang membawa empat angkasawan kembali ke Bumi mendarat di Panama City, hari ini.

Bot menunda kapal angkasa dan kru selepas misi enam bulan mereka di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

NASA berkata, anak kapal melaporkan bahawa mereka berasa sihat.

Imej yang ditunjukkan pesawat penyelidikan WB-57 NASA, kapsul itu mendarat pada jam 2:56 pagi (waktu tempatan) di Teluk Mexico luar pantai Florida selepas penerbangan enam setengah jam dari ISS.

Angkasawan Michael Hopkins, Victor Glover, Shannon Walker dan Soichi Noguchi dari Jepun berlepas ke angkasa November lalu sebagai kru dalam misi operasi pertama sepenuhnya ke ISS dengan kapal angkasa dibuat oleh Elon Musk iaitu SpaceX, yang menjadi rakan pengangkutan komersial NASA.

Tujuh angkasawan masih kekal berada di ISS termasuk empat kru yang tiba dengan kapal angkasa SpaceX berlainan minggu lalu.

"Terima kasih atas keramahan anda," kata Hopkins ketika kapsul dibuka dari stesen angkasa untuk perjalanan pulang.

"Kami akan bertemu anda kembali di Bumi," katanya.

Sebelum itu, dua angkasawan Amerika membuat misi ujian ke ISS pada bulan Mei dan tinggal selama dua bulan.

Itu adalah pelancaran pertama ke ISS dari AS sejak berakhir program Space Shuttle pada tahun 2011.

Ia juga adalah misi pertama yang dikendalikan oleh syarikat swasta.

Sebelum itu, angkasawan AS berlepas ke ISS dengan kapal angkasa Russia. - AFP

Berita Harian X