Jumaat, 23 April 2021 | 9:42pm
Misi Crew-2 berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, Amerika Syarikat. - Foto AFP
Misi Crew-2 berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, Amerika Syarikat. - Foto AFP

SpaceX guna roket pakai semula ke ISS

PUSAT ANGKASA KENNEDY, AMERIKA SYARIKAT: SpaceX menghantar kru ketiga ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sejam sebelum matahari terbit pagi tadi, buat pertama kalinya menggunakan roket dan kapal angkasa yang pernah digunakan sebelum ini.

Misi Crew-2 yang pertama membabitkan orang Eropah berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida pada 5.49 pagi waktu tempatan (0949 GMT).

"Kita berusaha melancarkan sekali lagi dengan empat angkasawan dari tiga negara di Crew-2 kini menuju ke satu-satunya ISS,"kata Gary Jordan.

Sebelum itu, angkasawan Thomas Pesquet dari Perancis, Shane Kimbrough dan Megan McArthur dari Amerika serta Akihiko Hoshide dari Jepun keluar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga mereka.

Kru Dragon memasuki orbit beberapa minit kemudian dan berusaha untuk sampai ISS dalam tempoh 23 setengah jam.

Plat kenderaan dinaiki angkasawan itu bertulis 'kitar semula', 'gunakan semula', dan 'kurangkan' menunjukkan bahawa kedua-dua kapsul Falcon 9 dan krew Dragon digunakan pada misi sebelumnya.

Penerbangan dengan kenderaan yang digunakan semula adalah matlamat NASA dengan kerjasama industri swasta untuk menjimatkan kos.

Sehari sebelum, Pesquet dalam ciapan menulis bahawa rakannya di ISS menunggu ketibaan mereka dan tidak mahu lewat dan sudah menyediakan katil untuknya.

Tempat tidur tambahan diperlukan untuk menampung jumlah orang yang ramai di ISS iaitu 11 orang secara keseluruhan, kerana pasukan Crew-2 bertindih selama beberapa hari dengan angkasawan Crew-1, selain tiga kosmonot Russia.

Ini adalah kali ketiga SpaceX menghantar manusia ke ISS sebagai sebahagian daripada kontrak bernilai berbilion dolar dengan NASA di bawah Program Kru Komersial. - AFP

Berita Harian X