Sabtu, 9 Januari 2021 | 7:23pm
Sinovac dan Oxford-AstraZeneca memfailkan permohonan pertama bagi kelulusan vaksin COVID-19 h pengawalseliaan di Brazil. - Foto AFP
Sinovac dan Oxford-AstraZeneca memfailkan permohonan pertama bagi kelulusan vaksin COVID-19 h pengawalseliaan di Brazil. - Foto AFP

Sinovac, AstraZeneca pohon kelulusan vaksin di Brazil

SAO PAULO: Pengeluar dua vaksin COVID-19 yang dibangunkan firma farmaseutikal China, Sinovac dan Oxford-AstraZeneca semalam memfailkan permohonan pertama bagi kelulusan pengawalseliaan di Brazil, negara yang teruk terjejas, kata pegawai.

Pengawalselia kesihatan Persekutuan, Anvisa kini mempunyai masa 10 hari untuk memberi maklum balas kepada permohonan itu, walaupun ia termasuk meminta maklumat lebih lanjut daripada penaja.

Satu permohonan dihantar Butantan Institute, sebuah pusat kesihatan awam di Sao Paulo, yang bekerjasama dengan Sinovac untuk menguji dan mengeluarkan vaksin CoronaVac.

Satu lagi adalah daripada Fiocruz Foundation yang berpangkalan di Rio de Janeiro dan bekerjasama dengan Universiti Oxford dan rakannya, firma farmaseutikal Britain-Sweden, AstraZeneca, dalam kerjasama yang sama.

Permohonan itu dibuat selepas pegawai mengumumkan CoronaVac menunjukkan keberkesanan 78 peratus dalam ujian klinikal di Brazil, berita yang disifatkan Gabenor Sao Paulo, Joao Doria sebagai 'bersejarah'.

Sinovac belum mengeluarkan keputusan daripada peringkat akhir ujian klinikal di seluruh dunia, yang juga dijalankan di Chile, Indonesia dan Turki.

Bagi vaksin Oxford, keputusan yang dikeluarkan pada Disember lalu mendapati ia 62 peratus berkesan kepada sukarelawan yang diberikan dua dos penuh dan 90 peratus berkesan bagi mereka yang diberikan separuh dos, diikuti satu dos penuh.

Bagaimanapun, keberkesanan kedua-dua vaksin itu dilihat kurang, dibandingkan dengan lebih 90 peratus keberkesanan yang dilaporkan firma farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer dan Moderna.

Vaksin CoronaVac dan Oxford menjadi perdebatan dalam pertelingkahan politik di Brazil antara Doria dan Presiden sayap kanan, Jair Bolsonaro, yang mungkin menjadi lawan dalam pemilihan presiden tahun depan.

Kerajaan persekutuan pada mulanya meluluskan CoronaVac, yang mana Bolsonaro mempersendakannya sebagai 'vaksin China Joao Doria'.

Bagaimanapun, selepas berusaha mendapatkan dos yang cukup untuk populasi Brazil sebanyak 212 juta, kementerian kesihatan Khamis lalu mengumumkan ia sudah menandatangani perjanjian dengan Butantan Institute bagi 100 juta dos vaksin untuk digunakan di seluruh negara.

Fiocruz pula merancang untuk mengimport dua juta dos AstraZeneca yang dihasilkan Serum Institute di India, pengeluar vaksin terbesar di dunia berdasarkan jumlah. - AFP

Berita Harian X