Khamis, 19 November 2020 | 7:59pm
Calon vaksin Oxford-AstraZeneca COVID-19 yang dipanggil AZD1222 atau ChAdOx1 nCoV-19 antara vaksin utama yang sedang dikembangkan. - Foto AGENSI
Calon vaksin Oxford-AstraZeneca COVID-19 yang dipanggil AZD1222 atau ChAdOx1 nCoV-19 antara vaksin utama yang sedang dikembangkan. - Foto AGENSI

Vaksin AstraZeneca beri tindak balas imun yang kuat

LONDON: Vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan AstraZeneca dan Universiti Oxford menghasilkan tindak balas imun yang kuat kepada orang tua, sekali gus memberi harapan ia mampu melindungi penyakit mudah berjangkit, berdasarkan data dari ujian peringkat pertengahan.

Data yang sebahagiannya dilaporkan pada bulan lalu tetapi diterbitkan sepenuhnya di jurnal perubatan The Lancet hari ini, mencadangkan mereka yang berusia lebih 70 tahun dan berisiko tinggi terhadap COVID-19, dapat membina kekebalan yang kuat.

Perunding dan penyelidik utama di Kumpulan Vaksin Oxford, Maheshi Ramasamy, berkata antibodi yang kuat dan tindak balas sel-T yang dilihat pada orang tua dalam kajian mereka sangat menggalakkan.

"Populasi yang paling berisiko mendapat penyakit COVID-19 yang serius ialah mereka yang tidak sihat dan orang tua.

"Kami berharap vaksin kami akan membantu melindungi beberapa orang yang paling berisiko dalam masyarakat, tetapi penyelidikan lebih lanjut diperlukan sebelum kami yakin," katanya.

Fasa akhir sedang dilakukan untuk mengesahkan dan melakukan ujian sama ada vaksin melindungi jangkitan SARS-CoV-2 terhadap orang ramai dan dengan kesihatan kurang memuaskan.

Data akhir mungkin akan diperoleh tidak lama lagi. Calon vaksin Oxford-AstraZeneca COVID-19 yang dipanggil AZD1222 atau ChAdOx1 nCoV-19 antara vaksin utama yang sedang dikembangkan.

Namun, saingan calon vaksin oleh Pfizer, BioNTech dan Moderna sudah mempunyai data percubaan terakhir yang menunjukkan lebih 90 peratus keberkesanan.

Tidak seperti vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna yang menggunakan teknologi baharu dikenali mRNA, suntikan eksperimental AstraZeneca adalah vaksin vektor yang dibuat dari versi virus selesema lemah yang terdapat pada cimpanzi.

Fasa kedua ujian vaksin yang dilaporkan dalam The Lancet membabitkan keseluruhan 560 sukarelawan sihat dengan 160 orang berusia antara 18 hingga 55 tahun, 160 orang berusia 56 hingga 69, dan baki 240 orang berusia 70 tahun atau lebih.

Sukarelawan mendapat dua suntikan dan tiada kesan sampingan serius berkaitan dengan vaksin AZD1222 dilaporkan.

AstraZeneca telah menandatangani beberapa perjanjian pembekalan dan pembuatan dengan syarikat dan kerajaan di seluruh dunia ketika hampir melaporkan hasil percubaan peringkat akhir. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X