Ahad, 15 November 2020 | 4:38pm
Empat angkasawan akan berlepas ke ISS dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida. - Foto AFP
Empat angkasawan akan berlepas ke ISS dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida. - Foto AFP

SpaceX bawa 4 angkasawan ke ISS

WASHINGTON: Empat angkasawan Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk berlepas dengan SpaceX Crew Dragon "Resilience" ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) hari ini sekali gus menjadi harapan AS untuk memperbanyakkan misi rutin selepas ujian penerbangan berjaya dilakukan pada akhir musim bunga lalu.

Angkasawan itu terdiri daripada tiga rakyat AS iaitu Michael Hopkins, Victor Glover dan Shannon Walker serta Soichi Noguchi dari Jepun yang akan berlepas jam 12.27 tengah malam ini dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida.

Pada Mei lalu, SpaceX berjaya melengkap misi apabila membawa angkasawan ke ISS dan membawa mereka kembali dengan selamat sekali gus mengakhiri satu dekad kebergantungan terhadap roket Soyuz dari Russia.

Pentadbir NASA, Jim Bridenstine berkata, sejarah yang akan dilakar hari ini ialah melancarkan apa yang disebut penerbangan operasi ke ISS yang akan dihadiri oleh Naib Presiden, Mike Pence dan wanita kedua Karen Pence.

Kru kapal akan berlabuh di destinasi mereka sekitar jam 4 pagi Selasa ini dan bergabung dengan dua orang Russia dan seorang warga Amerika di dalam stesen untuk tinggal bersama selama enam bulan.

Dalam pada itu, awal minggu ini Crew Dragon menjadi kapal angkasa pertama yang diperakui oleh NASA sejak Space Shuttle hampir 40 tahun yang lalu.

Ia adalah kapsul yang menyamai dengan kapal angkasa yang mendahului Space Shuttle dan kenderaan pelancarnya adalah roket SpaceX Falcon 9 yang boleh digunakan kembali.

NASA beralih ke SpaceX dan Boeing selepas menutup program Space Shuttle pada tahun 2011, yang mana ia gagal dalam objektif utamanya menjadikan perjalanan ruang angkasa berpatutan dan selamat.

Namun, kejayaan SpaceX tidak bermaksud AS akan berhenti melakukan persaingan dengan Russia sama sekali.

"Kami ingin mengadakan pertukaran tempat di mana angkasawan Amerika dapat terbang dengan roket Soyuz Russia dan angkasawan Russia dapat terbang dengan kenderaan kru komersial," kata Bridenstine.

Namun begitu, hubungan antara AS dan Russia tidak berapa baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan Russia mengatakan bahawa ia tidak akan menjadi rakan kongsi dalam program Artemis untuk kembali ke bulan pada tahun 2024 dan mendakwa misi yang dipimpin NASA terlalu berpusat pada AS. - AFP

Berita Harian X