Sabtu, 30 Mei 2020 | 8:57pm
- Foto AFP
- Foto AFP

India 'bebaskan' burung merpati dituduh pengintip Pakistan

SRINAGAR: Polis India membebaskan burung merpati milik seorang nelayan Pakistan selepas siasatan mendapati haiwan yang terbang melintasi sempadan antara dua negara kuasa nuklear itu bukan pengintip.

Pegawai kanan polis Kashmir, Shailendra Mishra, berkata burung merpati itu dibebaskan kelmarin selepas tiada perkara mencurigakan ditemui.

Sementara itu, pegawai kanan keselamatan sempadan India yang enggan dikenali berkata burung itu ditahan untuk disiasat sama ada digunakan untuk tujuan mengintip kerana isu itu membabitkan keselamatan sempadan.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut di mana lokasi burung itu dibebaskan dan sama ada ia terbang semula kepada pemiliknya.

Pemilik burung merpati itu, Habibullah, mendesak India memulangkan burungnya, yang diserahkan kepada polis oleh penduduk tempatan yang menangkapnya.

Beliau menafikan tuduhan bahawa nombor yang tertulis pada cincin di kaki burung merpati itu adalah kod rahsia untuk kumpulan militan yang beroperasi di wilayah Kashmir dan sebaliknya menjelaskan ia adalah nombor telefon beliau.

Habibullah, yang tinggal di perkampungan berhampiran sempadan Kashmir, yang juga antara zon ketenteraan paling tegang di dunia, berkata burung miliknya itu tertangkap ketika menyertai perlumbaan.

Sebelum ini, pada 2016, seekor burung merpati pernah ditahan di India selepas satu nota ugutan untuk membunuh Perdana Menteri, Narendra Modi, ditemui pada kakinya. - AGENSI

Berita Harian X