Selasa, 31 March 2020 | 3:30pm
Ventilator dan peralatan lain untuk membantu pesakit di hospital medan Central Park, Bandar Raya New York City. Foto AFP
Ventilator dan peralatan lain untuk membantu pesakit di hospital medan Central Park, Bandar Raya New York City. Foto AFP

Ford Motor keluarkan 50,000 ventilator

DETROIT: Ford Motor Co semalam mengumumkan syarikat itu akan menghasilkan 50,000 ventilator dalam tempoh 100 hari di kilangnya yang terletak di Michigan.

Syarikat automotif itu bekerjasama dengan unit penjagaan kesihatan iaitu General Electric (GE) yang berupaya menghasilkan 30,000 mesin setiap bulan seperti diperlukan untuk merawat pesakit dijangkiti COVID-19.

Menurut Ford, ventilator yang rekaan mudah itu memperoleh lesen daripada GE berpusat di Florida, selain diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan dan memenuhi keperluan pesakit COVID-19 tanpa memerlukan elektrik.

Seorang pegawai sebuah negara yang dilanda teruk COVID-19 merayu kepada pentadbiran Donald Trump dan pemain industri berkaitan supaya mempercepatkan penghasilan ventilator.

Ia bagi memenuhi permintaan susulan peningkatan mendadak pesakit yang menghidap masalah pernafasan.

Jumaat lalu, Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau akan memohon kuasa di bawah Akta Pengeluaran Pertahanan untuk mengarahkan pengilang, termasuk Ford dan General Motors Co (GM), untuk menghasilkan ventilator.

Pada Ahad lalu, menurut GM, pihaknya bercadang untuk menghasilkan sehingga 10,000 ventilator dalam sebulan, bermula musim panas ini di kilangnya di Kokomo, Indiana.

Ford pula berkata, syarikat itu akan memulakan pembuatan ventilator di kilangnya di Ypsilanti, Michigan apabila menggerakkan seramai 500 kakitangan United Auto Worker, iaitu sebuah kesatuan buruh antarabangsa.

Pekerja itu akan ditempatkan dalam jarak yang selamat dan disaring terlebih dahulu untuk mengenalpasti gejala akibat jangkitan COVID-19.

Menurut Pengarah Kejuruteraan Teras Pembuatan Global Ford, Adiran Prince, pihaknya menggunakan teknologi bagi membantu dan memastikan setiap pekerja dalam keadaan selamat.

“Prosedur keselamatan di Ypsilanti akan mengadaptasi daripada Ford dan United Auto Worker akan melakukan persiapan pembuat automotif untuk membuka kilang lain di AS,” katanya.

Berita Harian X