Rabu, 18 March 2020 | 4:31pm

COVID-19: Kerajaan tawar bantuan kepada syarikat penerbangan

SYDNEY: Australia dan Taiwan menawarkan bantuan kewangan kepada sektor penerbangan yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Kerajaan Australia berkata, pihaknya akan memulangkan dan tidak mengenakan caj kepada syarikat penerbangan antaranya caj kawal trafik udara berjumlah AS$715 juta (RM3.1 bilion) , termasuk pembayaran pendahuluan AS$159 juta (RM694.2 juta), selepas mengeluarkan arahan menghalang rakyatnya untuk ke luar negara.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Taiwan, berkata syarikat penerbangan boleh memohon subsidi dan pinjaman bagi membantu mengurangkan kos, bermula dari 15 Januari 2020.

"Syarikat penerbangan juga boleh memohon pinjaman bagi operasi harian," katanya tanpa memaklumkan secara khusus jumlah pinjaman yang boleh dipohon.

Setakat ini, syarikat penerbangan Amerika Syarikat sudah memohon pinjaman sebanyak AS$50 bilion (RM218.3 bilion) termasuk pelepasan cukai.

Sementara itu, Syarikat Airbus turut memberi isyarat kepada kerajaan untuk menghulurkan bantuan sekiranya krisis COVID-19 berlanjutan untuk tempoh beberapa bulan.

Mengikut kajian Reuters, sebanyak 41 peratus atau AS$157 bilion (RM685.3 bilion) nilai saham daripada 116 syarikat penerbangan berdaftar mengalami kerugian, manakala jumlah aliran tunai yang dimiliki hanya mampu menampung kos perbelanjaan selama dua bulan.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) memaklumkan kerajaan perlu memberi sokongan penuh kepada syarikat penerbangan masing-masing.

"Saat ini, industri penerbangan berdepan kejatuhan akibat sekatan kerajaan yang menghalang rakyat mereka untuk ke luar negara. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X