Khamis, 12 March 2020 | 7:56pm
Zirafah putih dibunuh pemburu haram di sebuah pusat konservasi tempatan di Garissa, timur Kenya.
Zirafah putih dibunuh pemburu haram di sebuah pusat konservasi tempatan di Garissa, timur Kenya.

Zirafah putih dibunuh pemburu haram

NAIROBI: Dua ekor zirafah putih yang jarang ditemui ditemui mati akibat dibunuh pemburu haram di sebuah pusat konservasi tempatan di Garissa, timur Kenya.

Memetik laporan The East African, zirafah terbabit adalah spesies yang jarang dan sukar ditemui di dunia.

Pengurus Komuniti Konservasi Ishaqbini Hirola, Mohammed Ahmednoor dalam satu kenyataan berkata, mereka hanya menemui rangka dua haiwan itu selepas sekian lama usaha pencarian dilakukan.

“Hari paling sedih buat masyarakat Ijara dan seluruh Kenya.

“Kematian zirafah ini satu tamparan kepada masyarakat setempat yang memerlukan sokongan berterusan dalam usaha pemuliharaan spesies unik dan jarang jumpa ini,” katanya.

Ahmednoor berkata, penemuan bangkai zirafah betina dan anaknya itu sekali gus menjadikan hanya seekor sahaja zirafah putih yang tinggal di dunia.

"Satu-satunya spesies yang tinggal adalah zirafah jantan yang dilahirkan oleh zirafah betina terbabit.

"Kami adalah satu-satunya komuniti di dunia yang memelihara zirafah putih. Pembunuhan ini adalah “peringatan” supaya usaha memelihara spesies yang jarang ditemui dan unik diteruskan," katanya.

Menurut Ahmednoor, kematian dua ekor zirafah itu juga satu tamparan kepada pelancongan dan industri penyelidikan di kawasan terpencil di Kenya.

"Ia adalah kerugian jangka panjang memandangkan kajian dan penyelidikan genetik adalah pelaburan yang penting di kawasan terbabit.

"Selain itu, zirafah putih adalah tarikan terbesar untuk pelancongan di sana," jelasnya.

Menurut pakar, spesies zirafah yang jarang ditemui itu dipercayai mengalami mutasi pada genetik dikenali sebagai ‘leucism’ dan menyebabkan kehilangan pada sebahagian pigmen.

Difahamkan, kali terakhir aktivis hak haiwan melihat dua beranak itu ialah kira-kira sebulan yang lalu. - AGENSI

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X