Khamis, 12 March 2020 | 7:22pm

Saintis temui spesimen dinosaur bersaiz burung kecil

PARIS: Saintis menjumpai tengkorak seekor burung kecil, mungkin daripada spesis dinosaur terbang yang dikenal pasti berusia 100 juta tahun dan lebih tua daripada spesis dinosaur T-Rex.

Tengkorak dinosaur “Oculudentavis khaungrae” itu diawetkan dalam sekeping damar di Myanmar dan ia berkemungkinan antara spesis haiwan itu yang terkecil pernah ditemui.

Ahli Paleontologi dari Akademi Sains China, Jingmai O’Connor, berkata ketika pertama kali melihatnya, ia disifatkan sebagai pengalaman yang amat mempesonakan.

“Ia diawetkan dalam keadaan sangat baik dengan rupanya yang agak pelik termasuk tulang mata dan jumlah gigi yang banyak,” katanya.

Tengkorak dinosaur berkenaan bersaiz 7.1 milimeter, menjadikannya berkemungkinan spesis terkecil haiwan itu yang pernah ditemui.

Bahkan, saiznya itu dikatakan lebih kecil daripada burung “bee hummingbird” iaitu burung terkecil yang masih hidup sehingga hari ini.

Kumpulan pengkaji turut mengaitkan penemuan dinosaur kecil itu sebagai spesimen “Teenie Weenie”.

Bagaimanapun, status spesimen itu sama ada seekor burung atau dinosaur masih kabur dan memerlukan kajian lebih terperinci. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X