Isnin, 28 Oktober 2019 | 9:58am
RATUSAN anggota polis dan penyokong mengadakan demonstrasi semalam di ibu kota Haiti untuk menuntut gaji lebih baik. - Foto EPA

Polis, penyokong berarak tuntut kenaikan gaji

PORT-AU-PRINCE: Ratusan anggota polis dan penyokong mengadakan demonstrasi semalam di ibu kota Haiti untuk menuntut gaji lebih baik bagi penguat kuasa undang-undang, ketika penunjuk perasaan antikerajaan turut mengadakan bantahan.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki dipukul mati dan kemudian dibakar oleh beberapa penunjuk perasaan yang mendakwa beliau melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang berarak menuntut peletakan jawatan Presiden Jovenel Moise.

Dengan muka disembunyikan, beberapa polis berpakaian awam menembak ke udara berhampiran penunjuk perasaan antikerajaan.

Beberapa das tembakan daripada individu tidak dikenali kedengaran di kawasan berhampiran penunjuk perasaan berarak.

Menjelang tunjuk perasaan itu, pegawai polis membuat aduan di ibu pejabat Polis Kebangsaan Haiti (PNH).

“Gaji kami teruk. Kami tidak mempunyai insurans: kami ada kad insurans tetapi setiap hospital kami pergi, kami perlu membayar,” kata seorang anggota polis bertopeng, yang enggan dikenali kepada AFP.

Seperti yang sudah dilakukan selama dua bulan, pihak yang berpaling tadah menuntut peletakan jawatan Moise, mereka disertai sebahagian pengunjung gereja dalam perjalanan pulang.

Sejak memegang kuasa pada Februari 2017, Moise berhadapan kemarahan pergerakan pembangkang yang enggan mengiktiraf kemenangannya dalam pilihan raya yang dilihat sebagai mencurigakan.

Kemarahan memuncak lewat Ogos lalu disebabkan kekurangan bahan bakar, dan bantahan bertukar ganas.

Namun sebelum krisis itu meletus, Moise dituduh mengamalkan rasuah.

Mahkamah audit menyiasat bantuan bernilai AS$2 bilion (RM8.3 bilion) daripada dana minyak Venezuela mendapati syarikat yang dikendalikan Moise sebelum beliau menjadi presiden adalah skim penyelewengan paling besar. — AFP

Berita Harian X