Khamis, 12 September 2019 | 10:42am
Perdana Menteri Tonga, Akilisi Pohiva. Foto Agensi

PM Tonga meninggal dunia di Auckland

WELLINGTON: Perdana Menteri Tonga, Akilisi Pohiva dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Auckland hari ini, ketika menerima rawatan bagi penyakit pneumonia.

Berita itu diumumkan sehari selepas perdana menteri berusia 78 tahun itu diterbangkan dari Tonga ke New Zealand.

Menurut pelbagai sumber, termasuk Radio New Zealand dan Perbadanan Penyiaran Australia, Pohiva meninggal dunia pagi tadi, di Hospital Auckland City.

Namun, pihak berkuasa Tonga gagal dihubungi, manakala kedutaan negara itu di New Zealand enggan memberi sebarang komen mengenai laporan berkenaan.

Pohiva yang juga bekas guru sejarah adalah pejuang pemerintahan demokrasi di Tonga, yang dikuasai keluarga diraja dan bangsawan.

Beliau dipilih sebagai anggota Parlimen pada 1987, seterusnya perdana menteri pada 2014, susulan reformasi yang memberi kuasa kepada pengundi, untuk memilih wakil mereka di dalam kerajaan.

Namun, Raja Tupou VI memecatnya pada 2017 apabila membubarkan Parlimen, sekali gus mengarahkan pilihan raya diadakan semula, tetapi Pohiva berjaya memenanginya bagi penggal kedua.

Walaupun dilaporkan sakit, Pohiva tetap menjalankan tugasnya, malah bulan lalu, beliau menghadiri Forum Kepulauan Pasifik di Tuvalu, seterusnya melobi tindakan segera bagi menangani masalah perubahan iklim. - AFP

Berita Harian X