Ahad, 25 Ogos 2019 | 9:25pm
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison ketika menghadiri majlis makan makan sempena lawatan rasmi ke Vietnam, minggu lalu. Foto EPA

Australia sekat domain penyedia bahan berunsur keganasan

SYDNEY: Australia akan menyekat akses ke domain internet yang bertindak sebagai penyedia bahan berunsur keganasan ketika berlakunya krisis, selain bercadang memperkenalkan undang-undang bagi memaksa platform digital meningkatkan tahap keselamatan perkhidmatan mereka.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison yang kini berada di Perancis bagi menghadiri sidang kemuncak Kumpulan 7 (G7), berkata kerajaan bercadang untuk menghalang pihak pelampau daripada mengeksploitasi platform digital untuk memuatkan naik kandungan berunsur keganasan.

“Kami sedang melakukan apa yang terdaya untuk menghalang pihak pengganas daripada menggunakan peluang yang ada untuk menguar-uarkan jenayah mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Australia dan New Zealand sudah meningkatkan pengawasan terhadap beberapa laman web dan media sosial, susulan pembunuhan beramai-ramai di Christchurch pada Mac lalu, apabila 51 umat Islam maut dalam serangan di dua buah masjid di New Zealand.

Insiden serangan itu turut disiarkan secara langsung oleh suspek, Brenton Tarrant menerusi Facebook.

Kerajaan Australia berkata, mereka akan mewujudkan rangka kerja bagi menyekat domain penyedia daripada memuat naik sebarang bahan terbabit.

Pada masa sama, Suruhanjaya eKeselamatan Australia akan menilai setiap kes yang patut menjalani proses tapisan, dan bekerjasama dengan pihak industri bagi melaksanakan segera sekatan ketika serangan berlaku.

Selain itu, Pusat Penyelarasan Krisis yang beroperasi 24 jam sehari akan ditubuhkan bagi memantau dunia dalam talian bagi mengesan bahan berunsur keganasan dan aktiviti keganasan melampau. - Reuters

Berita Harian X