Ahad, 8 Mei 2022 | 5:49pm
Petani menuai tanaman gandum menggunakan jentera di ladang dekat perkampungan Jaliha, Diwaniya di wilayah tengah Iraq. - Foto AFP
Petani menuai tanaman gandum menggunakan jentera di ladang dekat perkampungan Jaliha, Diwaniya di wilayah tengah Iraq. - Foto AFP

51 negara 'buka' pasaran eksport makanan

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan puluhan negara lain berikrar untuk mengukuhkan keselamatan makanan global dalam satu kenyataan bersama kepada Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Ikrar itu dibuat susulan amaran mengenai kesan global terhadap keselamatan makanan antarabangsa akibat pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Menurut kumpulan berkenaan, mereka akan menumpukan untuk melaksanakan langkah terbaik bagi mengekalkan pasaran dan perdagangan pertanian yang terbuka serta boleh diramal.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini memberi amaran bahawa perang dan sekatan ekonomi ke atas Moscow mengganggu bekalan makanan global, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlaku krisis kebuluran serius lagi meluas.

Ketua Program Makanan Sedunia (WFP), David Beasley, sudah berulang kali memberi amaran bahawa peperangan di Ukraine boleh membawa krisis kebuluran global ke tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Russia dan Ukraine adalah penyumbang terbesar bijirin untuk bekalan global termasuk roti, gandum, minyak sayuran dan jagung selan menjadi pembekal baja utama.

Kedua-dua negara itu menyumbang 30 peratus daripada perdagangan gandum global.

Perang menyebabkan harga komoditi melonjak dengan harga minyak bunga matahari dan minyak biji sawi meningkat 40 peratus di Eropah dalam tempoh dua bulan.

Pergolakan pasaran dunia semakin meruncing apabila sesetengah negara mempertimbangkan untuk mengurangkan eksport dalam memastikan bekalan domestik mencukupi.

Keputusan Indonesia baru-baru ini untuk menggantung eksport minyak sawit bagi menghadapi kekurangan bekalan dalam negara mendorong harga minyak sayuran melonjak ke paras tertinggi baharu.

Terdapat juga spekulasi bahawa India, pengeluar gandum nombor dua dunia, yang sedang dilanda gelombang haba terburuk dalam sejarah negara itu, akan menyekat eksport bijirin, namun khabar angin itu dinafikan oleh New Delhi.

Bagaimanapun, tiada jaminan ia tidak akan berlaku kerana Indonesia dan India tidak termasuk dalam senarai 51 negara anggota WTO yang menandatangani kenyataan jaminan bekalan.

Dua negara pertanian besar seperti Brazil dan Argentina juga memilih untuk tidak menyertai dokumen perjanjian itu.

Negara yang terbabit berjanji untuk bekerjasama memastikan makanan yang mencukupi, selamat, berpatutan dan berkhasiat tersedia untuk semua orang pada setiap masa.

Mereka juga berikrar bagi memastikan pasaran makanan dan pertanian antarabangsa negara masing-masing kekal 'terbuka'. – AFP

Berita Harian X