Selasa, 12 April 2022 | 8:57am
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

WHO kaji dua sub-varian COVID-19 baharu Omicron

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang mengesan puluhan kes dua sub-varian baharu Omicron COVID-19 yang sangat mudah merebak.

Agensi kesihatan PBB itu semalam memaklumkan ia sedang membuat penilaian sama ada dua sub-varian baharu Omicron itu lebih menular atau berbahaya.

Kata WHO, Omicron kini sudah menambah varian BA.4 dan BA.5 iaitu varian yang berkaitan dengan varian BA.1, yang juga varian asal.

Pemantauan sedang dibuat bagi kedua-dua varian berkenaan selepas varian BA.1 dan BA.2 mendominasi peringkat global.

Jelas WHO, kajian perlu dilakukan untuk memahami kesannya terhadap potensi risiko untuk terlepas daripada imunisasi.

Virus bermutasi sepanjang masa, namun hanya beberapa yang akan memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk merebak, mengelak imuniti terdahulu hasil vaksinasi atau jangkitan atau keterukan penyakit.

Sebagai contoh, BA.2 kini mewakili hampir 94 peratus daripada semua kes yang dijujukan dan lebih mudah berjangkit daripada adik-beradiknya.

Bagaimanapun, bukti setakat ini menunjukkan tidak ada kemungkinan ia berpotensi menyebabkan gejala yang teruk.

Menurut WHO, hanya puluhan kes BA.4 dan BA.5 dilaporkan kepada pangkalan data GISAID global.

Agensi keselamatan kesihatan berpangkalan di United Kingdom (UK) itu berkata minggu lalu BA.4 ditemui di Afrika Selatan, Denmark, Botswana, Scotland dan England dari 10 Januari hingga 30 Mac.

Setakat minggu lepas, kesemua kes BA.5 itu berada di Afrika Selatan tetapi semalam, Kementerian Kesihatan Botswana berkata ia mengenal pasti empat kes BA.4 dan BA.5.

Semua kes berkenaan adalah dalam kalangan individu berumur 30 hingga 50 tahun yang sudah diberi vaksin sepenuhnya dan mengalami gejala ringan. - AGENSI

Berita Harian X